Jaguh skuasy remaja negara, Aifa Azman, mahu mengekalkan aksi konsisten dalam Kejohanan Individu Remaja Asia di Macau bermula 25 Jun ini.

Misinya ialah untuk memperbaiki kedudukan ranking remaja dunia dengan dia ketika ini berada di tangga ke-25.

Bagaimanapun, pemain berusia 19 tahun itu menjelaskan dia akan memberikan lebih perhatian terhadap kejohanan di peringkat remaja berbanding senior sepanjang musim ini.

Sebagai rekod, dia hanya menyertai dua kejohanan peringkat senior sepanjang tahun ini.

"Untuk Kejohanan Remaja Dunia, saya menyasarkan untuk layak ke final.

"Saya masih boleh menyertainya tahun depan kerana ia akan menjadi tahun terakhir saya (di peringkat remaja).

"Saya perlu meletakkan fokus terhadap kejohanan remaja kerana ia sudah hampir ke penghujung.

"Saya amat menginginkan kejuaraan remaja dunia dan Asia B-19," katanya.

Juara Kejohanan Terbuka Remaja British 2018 berkenaan sedang berusaha untuk memburu gelaran juara dalam Kejohanan Remaja Dunia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, bulan depan.

"Kebanyakan lawan saya ialah pemain Malaysia.

"Ia seperti beraksi menentang rakan sepasukan.

"Saya berharap dapat menjuarai kategori B-19 kerana saya pernah memenangi kesemua kategori lain selain kategori itu.

"Ia merupakan percubaan pertama saya untuk memburu kejuaraan B-19," tambahnya.