Kejayaan layak secara merit ke Kejohanan Skuasy Dunia sebelum berusia 18 tahun antara sebab mengapa nama Aifa Azman berada dalam senarai pengganti kepada Datuk Nicol David.

Dia yang akan genap berusia 18 tahun pada 18 Disember depan, menghampiri prestasi tiga pemain wanita terbaik negara, termasuk S. Sivasangari, yang dicanang sebagai wajah skuasy Malaysia untuk tempoh jangka masa panjang selepas Nicol.

Bagi Andrew Cross, jurulatih yang bertanggungjawab menyelia program jaguh remaja itu, Malaysia boleh menyandarkan harapan ke atas anak buahnya itu, yang akan memainkan peranan besar buat skuasy negara.

"Sudah pasti, saya fikir dia telah memaparkan sesuatu yang baik sepanjang dua minggu itu.

"Dia beraksi baik walaupun berdepan dua saingan sukar di Australia.

"Dia memaparkan permulaan baik dalam kedua-dua minggu, terutama apabila layak ke Kejohanan Dunia pada minggu pertama.

"Ia pencapaian yang istimewa pada usia 17 tahun.

"Ia pasti akan meningkatkan rankingnya.

"Kami akan melihat di mana tahap kami sekarang.

"Keyakinannya kini berbeza berbanding tiga minggu lalu

"Saya fikir dia akan menghampiri mereka," katanya.

Aifa sehingga hari ini masih sukar menerima realiti bahawa dia akan membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia di Kaherah, Mesir dari 23 Oktober hingga 1 November depan.

Tiket yang diraihnya menerusi kejuaraan dalam Kejohanan Terbuka North Coast di Australia bulan lalu itu turut mendapat pujian peribadi Nicol.

"Saya agak terkejut pada hari itu. 'Wah, saya memenangi kejohanan ini'.

"Ia melayakkan saya ke Kejohanan Dunia.

"Saya amat-amat gembira hingga tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya.

"Datuk Nicol ada mengucapkan tahniah kepada saya dan dia kata ia perasaan yang luar biasa apabila saya layak ke Kejohanan Dunia pada usia 17 tahun.

"Saya amat berbangga dengan diri saya," kata pemain muda itu.