Semangat pelumba basikal trek para negara, Afiq Afify Rizan, tidak luntur untuk terus mengejar misi memecahkan rekod Asia dalam acara ujian masa 1 kilometer Kategori B menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Para Asia (ACC) 16 Februari ini, sekali gus menyarung jersi putih.

Afiq bersama jurumudinya, Khairol Adha Mohd Rasol, mencatatkan 1 minit 04.236 saat dalam acara 1km ujian masa kategori B ketika Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Ia mengatasi rekod Asia milik atlet Jepun, Oshiro Tatsuyuki-Yasufumi Ito, dengan catatan 1:04.266s.

Bagaimanapun, catatan Afiq dan Khairol tidak diiktiraf oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kerana masalah teknikal.

Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nilai, 16 Februari ini, merupakan kejohanan pertama Afiq untuk 2018 dan dia bertekad mahu kembali melakar catatan yang sama, sekali gus menjadi pemegang rekod Asia.

"Dalam Sukan SEA, saya sudah memecahkan rekod Asia tetapi ia tidak rasmi kerana ia tidak di bawah UCI. Jadi, dalam ACC kali ini, mungkin saya akan pecahkan semula rekod Asia atau buat lebih baik," kata Afiq.

Selain itu, dia juga menganggap ini medan untuk menguji keupayaan dalam persediaan menghadapi dua kejohanan penting selepas ini, iaitu Kejohanan Berbasikal Dunia Para di Brazil, 22 Mac depan dan seterusnya temasya Sukan Komanwel Gold Coast pada April.

Selain ujian masa 1km, Afiq akan turut menyertai acara pecut 200 meter di Nilai nanti.

"Sebelum ini, sudah dua kali saya menyertai ACC. Mungkin kali ini ada penyertaan baru daripada Indonesia dan Singapura dan ia akan menambahkan saingan."