Pelumba basikal Para negara, Muhd Afiq Afify Rizan, menganggap pingat gangsa yang diraihnya dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), menebus kehampaannya selepas terpaksa menarik diri dalam Sukan Paralimpik Rio 2016.

Menurutnya, keserasian yang cepat terbina bersama pasangannya, Muhammad Khairul Adha Rasol, menjadi salah satu faktor di sebalik kejayaan pingat gangsa dalam kejohanan dunia itu.

Tiada apa yang mampu dilafazkan kecuali perasaan gembira terpancar di wajah Afiq sebaik tiba di tanah air, hari ini.

Afiq dan Khairul Adha berjaya mencipta kejutan apabila mengetepikan pelumba Russia dalam aksi penentuan pingat gangsa acara 200 meter Kelas 'B'.

Jelas Afiq, kemenangan itu di luar jangkaannya kerana sasaran awalnya adalah lebih kepada memperbaiki rekod peribadi.

"Ketika membuat catatan masa, kami berjaya mendapat tempat ketiga.

"Persaingannya agak sengit dan saya telah memberikan persembahan terbaik sehingga dapat layak ke suku akhir.

"Tetapi kami kalah di peringkat separuh akhir.

"Kemudian kami mempunyai satu lagi peluang untuk menentukan pingat gangsa lalu kami berjaya memberikan aksi terbaik untuk meraih gangsa," ujarnya.

Afiq juga berasa gembira dengan gandingannya bersama Khairul sungguhpun baru sahaja digandingkan selama tiga bulan.

"Walaupun digandingkan dalam masa singkat, kami dapat mencipta keserasian dan mengikuti rentak masing-masing untuk berlumba."