Gandingan tonggak berpengalaman dan pemain muda berbakat menjadi senjata utama Kelantan Warriors dalam misi utama mencapai sasaran layak ke separuh akhir saingan musim baharu Liga Sepak Takraw (STL), bermula 30 September ini.

Pengurus Kelantan Warriors, Adnan Mat, melontarkan keyakinan lapan pemain yang bakal menyarung jersi pasukan, sudah cukup bersedia menentang Black Panthers dari Pulau Pinang, dalam perlawanan pusingan pertama STL.

“Secara peribadi, saya yakin Kelantan Warriors yang diketuai oleh tekong utama, Khairul Hisham Mohd Yusoff, Mohd Hisham Mat, Muhammad Ikhwan Abdul Rahman, dan perejam, Nur Yuslie Mat Jusoh, Mod Aiman Fauzi dan Wan Mohd Naim, berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

“Selain itu, kami juga memiliki apit kiri berbakat seperti Aidil Aiman Azwawi dan Mohd Ashraf Mamat yang dijangka mampu untuk menjulang nama Kelantan musim ini,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran utama Kelantan Warriors dalam STL kali ini, Adnan mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa mereka mampu mengulangi pencapaian musim lalu sehingga berjaya mara ke separuh akhir.

“Kami akan memberikan tumpuan kepada perlawanan demi perlawanan. Bertemu Penang Panthers dan ATM Guardians dalam dua perlawanan awal cukup sukar, namun saya percaya kelebihan akan berpihak kepada Kelantan Warriors.

“Lagipun, tahun ini STL hanya mempertandingan kategori regu sahaja berbanding kategori berpasukan pada tahun lepas, dan peluang lebih terbuka kepada kelapan-lapan pasukan yang menyertainya,” katanya.

Lapan pasukan dalam STL kali ini ialah KL Thunder, ATM Guardians, Terengganu Turtles, Kelantan Warriors, Penang Panthers, Melaka Titans, Kedah Eagles dan Johor Tigris.