Kejayaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Adiq Husainie Othman, yang muncul pelumba terbaik Asia dalam saingan LTdL tahun lalu menjadi inspirasi buat adiknya, Afiq Huznie Othman, untuk menyerlah pada edisi kali ini.

Adiq mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba pertama Malaysia untuk merangkul jersi putih selaku pelumba terbaik Asia pada edisi 2016.

Tetapi, kecederaan mengakibatkan pelumba berpengalaman itu tidak dapat mempertahankan gelaran musim ini.

Lantas, tumpuan kini terarah kepada Afiq sama ada dia mampu untuk mencipta kejutan seperti mana yang telah dilakukan abangnya.

"Ini merupakan kali pertama saya mewakili pasukan Thailand. Pasukan ini mampu membantu saya meraih keputusan yang positif dan saya akan cuba memberikan yang terbaik," kata Afiq.

Perlumbaan LTdL tidak asing buat Afiq kerana dia pernah mewakili pasukan MSN-Mycron pada edisi tahun lalu.

Namun, bagi perlumbaan kali ini, dia menjadi taruhan pasukan dari Thailand, Infinite Ais, yang dikendalikan bekas jurulatih TSG, Sebastien Duclos.

Afiq mengakui dia masih dalam proses menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan yang lain tetapi yakin dapat membentuk keserasian seperti diharapkan.

"Strategi yang berbeza merupakan sesuatu yang baru buat saya. Saya berharap untuk cuba membantu pasukan dalam LTdL tahun ini."