Kejayaan skuad luncur air negara mengatasi sasaran dengan kutipan empat pingat emas menerusi Aaliyah dan Adam Yoong merupakan pencapaian yang menakjubkan.

Lebih mengagumkan, pencapaian empat emas, satu perak dan dua gangsa ini tidak disenaraikan dalam sasaran awal mereka.

Aaliyah sememangnya sudah diperakui lebih awal memandangkan statusnya selaku antara peluncur terbaik di peringkat Asia sudah terbukti.

Tidak hairanlah dia berjaya melunaskan dua pingat emas sepertimana yang dijangkakan.

Bagaimanapun, apa yang di tampilkan Aaliyah amat luar biasa apabila dia sebaliknya menghadirkan tiga pingat emas menerusi acara tricks, overall dan jump.

"Saya berasa sangat hebat ketika ini kerana menjelang Sukan SEA, keadaan saya tidak berapa baik tetapi saya berjaya meraih tiga pingat emas," kata Aaliyah.

Lebih manis, Aaliyah turut memecahkan rekod kebangsaan milik kakaknya, Phillipa Yoong, dalm acara jump dengan catatan 32.6 meter yang dilakarnya ketika saringan meskipun rutin itu bukan acara kegemarannya.

Sementara itu, kelibat Adam turut mencuri tumpuan.

Meskipun dia tidak diletakkan sebarang harapan untuk mengutip emas acara tricks lelaki, ternyata atlet berusia sembilan tahun itu bijak menyangkal jangkaan ramai.

Semangat dan keyakinan yang ditampilkan Adam menjadi antara faktor utama dia menonjol daripada peserta disiplin tricks yang lain.

"Saya tidak terlalu memikirkan pencabar lain sebaliknya hanya memberi fokus terhadap persembahan saya dan kemudiannya menantikan apakah keputusan akhir," kata Adam.

Pada masa sama, kelibat Aiden Yoong juga tidak harus di lupakan kerana miliki teknik lebih baik dari adiknya namun nasib kurang menyebelahinya.