Seperti yang dilaporkan sebelum ini, pasangan regu lagenda The Hardy Boyz telah mengakhiri kontrak bersama Impact Wrestling bulan lalu dan spekulasi menyebut bahawa mereka akan kembali ke WWE.

Kini para peminat Team Extreme ini boleh semakin menarik nafas gembira kerana menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pro Wrestling Sheet, pihak WWE telah pun menghubungi mereka dan menawarkan kontrak baharu untuk bekas Juara Regu WWE ini kembali.

ROH Champions

Walaupun kedua pasangan adik beradik ini kini merupakan Juara Regu di Ring Of Honor (ROH), namun seperti yang didedahkan Matt beberapa minggu lalu, kontrak mereka bersama ROH hanyalah untuk satu jangka masa yang singkat iaitu sekadar sebulan dua sahaja. Justeru, tidak hairanlah sekiranya mereka akan kembali ke WWE semula selepas meninggalkan syarikat kepunyaan keluarga McMahon itu tujuh tahun lalu.

Matt Hardy yang sedang menjadi fenomena dengan karakter “Broken”nya kini dilapor sedang bergelut dengan pihak pengurusan Impact Wrestling yang enggan memberikan kebenaran kepada Hardy untuk kekal menggunakan gimik tersebut di luar Impact. Matt walaubagaimana pun sedang berusaha mencari jalan terbaik untuk mendapatkan hak mutlak kepada gimik tersebut kerana ia adalah lahir daripada ideanya sendiri dan bukannya pihak pengurusan Impact.

WWE Tag team champ

Jika benar Matt dan Jeff bersetuju dengan terma dan syarat untuk kembali semula ke WWE tidak lama lagi, kemungkinan mereka terpaksa melupakan seketika gimik Broken Universe tersebut kerana sudah tentu WWE tidak mahu terlibat dengan isu hakcipta dan tanda niaga (trademark) milik Impact. Atau sekurang-kurangnya, WWE akan menunggu sehingga isu ini selesai agar tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari.

Dengan musim Wrestlemania yang hanya berbaki kurang dua minggu dari sekarang, adalah sesuatu yang amat mengujakan sekiranya dapat melihat kembali Matt dan Jeff memeriahkan semula divisyen regu di WWE, tidak kira sama ada di jenama Raw mahupun Smackdown Live.

Demam Wrestlemania makin terasa

WWE-WrestleMania

Berbicara tentang Wrestlemania, para WWE Universe kini sudah tentu tidak senang duduk akibat keterujaan untuk menyaksikan acara gilang-gemilang tersebut pada 3 April ini. Senarai perlawanan juga mengalami perubahan dari semasa ke semasa bagi menambahbaik daya tarikan acara terbesar WWE ini.

Sehingga laporan ini ditulis, berikut merupakan antara perlawanan yang telah disahkan untuk acara yang berdurasi lebih 4 jam tersebut:

1. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Universal WWE:
Goldberg (juara) lawan Brock Lesnar

2. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan WWE:
Bray Wyatt (juara) lawan Randy Orton

3. Roman Reigns lawan The Undertaker

4. AJ Styles lawan Shane McMahon

5. Perlawanan 4 penjuru bagi merebut Kejuaraan Wanita Raw:
Bayley (juara) lawan Charlotte Flair lawan Sasha Banks lawan Nia Jax

6. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Amerika Syarikat WWE:
Chris Jericho (juara) lawan Kevin Owens

7. Perlawanan 3 penjuru bagi merebut Kejuaraan Regu Raw:
Gallows & Anderson (juara) lawan Enzo Amore & Big Cass lawan Sheamus & Cesaro

8. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Wanita Smackdown:
Alexa Bliss (juara) lawan Mickie James lawan Becky Lynch lawan Carmella lawan Natalya (dengan kemungkinan bakal ada peserta tambahan)

9. Perlawanan Tempur Raksasa Diraja (Battle Royal) bagi merebut trofi memorial Andre The Giant

10. John Cena & Nikki Bella lawan The Miz & Maryse

Terdapat 2 lagi perlawanan yang dijangka turut mengambil tempat namun belum disahkan iaitu:

11. Seth Rollins lawan Triple H

12. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Cruiserweight WWE:
Neville (juara) lawan Austin Aries

Bagi menghangatkan pertembungan antara Goldberg dan Brock Lesnar, kedua bintang perkasa ini akan bersemuka buat kali terakhir sebelum ke Wrestlemania di acara Raw minggu hadapan. Mungkinkah Goldberg akan membalas kembali hadiah F5 yang diterimanya minggu lalu?

Pastinya para WWE Universe tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan acara hebat ini yang akan ditayangkan secara eksklusif di saluran WWE Network saluran 820 / 840 (HD). Justeru, segera melanggannya jika anda masih belum berbuat demikian.


Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 18,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.