Jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan, Addie Azwan Zainal, mahu menerapkan corak permainan lebih pantas dalam mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi Kejohanan Futsal AFC di Bangkok, awal Mei depan.

Addie, yang pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad futsal lelaki kebangsaan, dilantik menggantikan Muizuddin Haris yang mengendalikan pasukan ini dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Sembilan pemain daripada skuad Sukan SEA dikekalkan, termasuk tonggak Felda United, Intan Sarah Anisah.

Turut tersenarai, tiga pemain skuad bola sepak wanita, iaitu Masturah Majid, Asma Junaidi dan Nur Haniza Saarani.

"Permainan pantas adalah pendekatan yang mahu kami lakukan bagi kejohanan kali ini," kata Addie.

Sementara itu, Nur Haniza mengakui mempunyai sedikit perbezaan dalam corak permainan tetapi pengalamannya beraksi dalam Liga Futsal Kebangsaan (LFK) Wanita sebelum ini banyak membantunya menyesuaikan diri bersama pasukan.

"Futsal adalah permainan pantas, bola sepak berdasarkan formasi. Daripada segi teknikal lebih kurang sama tetapi kami akan cuba memberikan yang terbaik," kata Haniza.

"Pengalaman yang baru buat saya untuk bersama dengan pemain-pemain bola sepak. Ia akan memberikan satu petanda positif untuk pasukan," kata Intan.