Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sama sekali tidak akan bertoleransi dengan kes doping apabila seorang atlet wanita didapati gagal melepasi ujian doping ketika Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan, Oktober lalu.

Ia kejohanan pertama dianjurkan sejak Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) membubarkan pasukan negara dan kejohanan kebangsaan di Kompleks MSN Kuala Rompin itu menjadi pelantar untuk memilih barisan sementara bagi menyertai kelayakan Sukan Komanwel Birmingham yang berlangsung Uzbekistan ketika ini -- tiga wakil negara akhirnya terpilih.

Lantas, ADAMAS memberi tempoh 14 hari kepada atlet wanita yang gagal ujian doping itu untuk mendapatkan memberi maklum balas dan sekiranya surat yang dikemukakan sejak dari 30 November lalu berkenaan tidak dijawab, maka proses pendengaran dijangka berlangsung bulan depan bagi menentukan jenis hukuman.

"Atlet itu berasal dari Sabah dan dia tidak masuk dalam mana-mana projek di bawah MSN (Majlis Sukan Negara).

"Bahan terlarang yang didapati dalam sampelnya mengandungi sibutramine (bahan yang biasanya digunakan untuk mengurangkan berat badan).




"Penggantungan sementara sudah berlaku dan dia tidak lagi dibenarkan menyertai kejohanan.

"Kami akan memberi peluang kepadanya untuk menguji sampel B miliknya. Kalau dia memilih untuk kes ini sesi pendengaran, kami akan lakukannya pada Januari depan," kata Pengarah ADAMAS, Azura Abidin, kepada Nadi Arena sebentar tadi.