Pelumba Moto 3 negara, Adam Norrodin, muncul pelumba tunggal negara yang berjaya meraih mata dalam perlumbaan pembuka tirai Grand Prix Qatar di Litar Antarabangsa Losail, awal pagi tadi.

Pelumba SIC Racing Team itu menamatkan saingan di kedudukan ke-10 untuk mengutip tujuh mata dan rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki, berada di tempat ke-11.

Perlumbaan Moto 3 dimenangi pelumba Leopard Racing, Joan Mir, walaupun bermula di petak keenam manakala John McPhee dari Great Britain di tangga kedua dan Jorge Martin dari sepanyol di tempat ketiga.

Dalam kategori Moto 2, Khairul Idham Pawi, yang mewakili Idemitsu Honda Team Asia gagal menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik apabila sekadar menamatkan penampilan pertamanya di kedudukan ke-29, sebaliknya rakan sepasukan, Takaaki Nakagami, meraih podium tempat ketiga.

Seorang lagi pelumba negara kategori Moto 2, Hafizh Syahrin, bermula buruk apabila gagal menamatkan saingan di Qatar.

Juara milik pelumba Itali, Franco Morbidelli, yang mencatat masa 40 minit 18.480 saat diikuti Thomas Luthi sementara Takaaki Nakagami di tangga ketiga.

Dalam kategori perdana, MotoGP, pula menyaksikan penguasaan pasukan Yamaha Movistar dengan dua pelumba mereka menamatkan perlumbaan di podium kemenangan.

Maverick Vinales, yang menggantikan Jorge Lorenzo, muncul juara manakala jagoan dari Itali, Valentino Rossi, berada di tempat ketiga.

Andrea Dovizioso dari pasukan Ducati meraih tempat kedua dan juara musim lalu, Marc Marquez, sekadar di tangga keempat.