Hasrat wakil negara, Westports Malaysia Dragons, untuk mengekalkan rentak kemenangan dalam Liga Bola Keranjang Asean (ABL) 2018-19 tidak tertunai apabila mereka tewas kepada Hong Kong Eastern di Stadium MABA, hari ini.

Kelebihan beraksi di laman sendiri mahu dimanfaatkan sepenuhnya Dragons selepas menewaskan Saigon Heat, Rabu lalu.

Permulaan cemerlang dipamerkan skuad kendalian Jamie Pearlman itu apabila mendahului 15-12 dalam suku pertama hasil lapan mata yang disumbangkan gandingan Nnanna Egwu dan Chan Kek Thai.

Dalam suku berikutnya, Eastern mula menemui rentak sebenar sehingga ada ketika mendahului Dragons dengan kelebihan tujuh mata.

Bagaimanapun, Dragons kembali mendahului dengan kapten pasukan, Chris Eversley, menghasilkan 13 mata untuk menjadikan kedudukan 43-39 memihak tuan rumah.

Penguasaan Eastern, bagaimanapun, lebih terserlah dalam dua suku terakhir.

Kebangkitan itu ditunjangi aksi kemas Marcus Elliott dan Sam Deguara.

Elliott memperoleh 26 mata keseluruhan untuk membantu Eastern meraih kemenangan 89-78.

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut pasukan Hong Kong itu musim ini.

Dragons pula perlu segera bangkit dengan mereka akan menentang Filipina Alab di venue yang sama, Rabu ini.

"Mereka terus menekan kami secara fizikal sepanjang 40 minit perlawanan.

"Kami masih pasukan muda yang sedang berkembang dan masih tidak dapat bermain dengan cara yang betul.

"Terlalu banyak kesilapan yang dilakukan ketika kami gagal mengatasi kelebihan fizikal mereka.

"Kami akan berusaha untuk mengekalkan konsentrasi dalam perlawanan yang akan datang," kata Pearlman.