Ketua jurulatih sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, lega apabila persiapan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kembali lancar selepas pengendali dan pemain Malaysia terlepas daripada hukuman Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di atas tuduhan enggan menjalani ujian doping ketika final Piala Raja Thai, tahun lalu.

"Alhamdulillah, ini berita yang menggembirakan bagi pihak saya dan barisan kejurulatihan apabila kami terlepas daripada dikenakan hukuman.

"Dengan itu, isu ini dianggap selesai," katanya.

Dalam masa yang sama, Abdul Talib mengakui kes itu menjejaskan persiapan pasukan negara untuk Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

"Memang besar impaknya kalau pemain negara dihukum.

"Ini kerana saya tak dapat menjalankan latihan dan agak sukar untuk saya merancang persiapan Sukan SEA.

"Dengan pengumuman ini, saya akan dapat mengendalikan anak buah dengan lebih mantap lagi."

Semalam, ISTAF mengenakan penggantungan selama dua tahun terhadap pengurus skuad Piala Raja Thai negara, Zamri Abdul Rahman, berhubung isu yang berlaku pada Oktober lalu itu.