Pemain golf Selangor, Sheikh Abdul Razak Abdul Rauf, dan Winnie Ng Yu Xuan dari Negeri Sembilan muncul juara kategori junior lelaki dan wanita bawah 18 tahun Kejohanan Golf RPGC-Taiwan Frutose di Kelab Golf DiRaja Perak (RPGC) di Ipoh, semalam.

Abdul Razak mencatat 8 birdie dengan 141 pukulan manakala Winnie 150 pukulan. Jelas gembira dengan kejayaan sulungnya, Abdul Razak berhasrat untuk lebih fokus dan lebih berdaya saing dalam sukan ini di masa depan.

"Saya tidak sangka boleh menang. Saya hanya fokus dalam permainan dan cuba yang terbaik. Harap kejayaan ini sebagai pemangkin untuk saya bermain lebih baik dalam kejohanan lain nanti," ujar Abdul Razak.

Bagi Winnie, pelajar Kolej Tuanku Jaafar, Mantin, Negeri Sembilan, hari kedua barulah dia mendapat rentak dengan mencatatkan 73 pukulan berbanding 77, semalam.

"Saya yakin boleh buat lagi baik, cuma 'putting' tidak menjadi. Mungkin disebabkan kepenatan setelah baru sahaja menyertai kejohanan amatur di Kedah," jelasnya.

Objektif PRGC-Taiwan Frutose ialah untuk menjadi platform remaja dalam menterjemahkan bakat dan pendedahan dalam sukan golf di peringkat negeri dan negara.