Sebanyak 64 pasukan termasuk dua dari luar negara mengambil bahagian dalam Kejohanan Boling Padang Antarabangsa Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, bermula semalam.

Menurut Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, jumlah itu merupakan penyertaan terbesar dengan jauh melepasi sasaran awal 40 pasukan.

“Hong Kong dan Brunei tidak ketinggalan mengambil bahagian pada kejohanan lima hari ini dengan jumlah hadiah keseluruhan RM28,000.

“Penyertaan ini selari dengan hasrat persatuan untuk merancakkan sukan boling padang, sukan yang mempunyai atlet paling ramai dalam Program Podium iaitu 12 atlet,” katanya.

Penganjuran kejohanan itu juga katanya, merupakan inisiatif PLBM dalam meningkatkan mutu saingan pemain boling padang khususnya untuk Sukan SEA, Ogos ini.

“Sebagai lima pasukan terbaik dunia, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, telah meletakkan sasaran lapan pingat emas dari sukan ini dalam Sukan SEA.

“Ketua jurulatih negara diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih atlet terbaik mewakili Malaysia ke temasya dwi tahunan itu,” tambahnya.

Sementara itu, pengurus pasukan Terengganu, Ahmad Hisham Hassan, menjangkakan saingan sengit akan diberikan terutama daripada kontinjen Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kami mempertaruhkan tiga pasukan sebagai persediaan Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan meletakkan sasaran 15 pasukan terbaik untuk kejohanan ini.

“Berdasarkan keputusan pada hari pertama dan kedua, Terengganu di landasan tepat untuk memenuhi sasaran itu,” katanya.

Kelebihan menjadi tuan rumah nyata mahu digunakan sebaiknya kontinjen Terengganu yang telah bersedia sejak awal tahun ini dengan gabungan atlet berpengalaman dan atlet pelapis.

Ahmad Hisham ditemui selepas majlis perasmian kejohanan yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.