Buat julung kalinya, Sarawak menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-19 yang bermula hari ini hingga 7 Oktober depan.

SOPMA Ke-19 merupakan kejohanan khususkan bagi golongan cacat pendengaran, dan akan mempertandingkan empat sukan utama, iaitu badminton di Dewan Persatuan Badminton Sarawak, bola sepak di Padang C, Padang D serta Stadium Negeri, boling tenpin di Megalanes Emart Batu Kawa dan olahraga di Stadium Sarawak.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah, berkata penganjuran sukan dwitahunan itu bertujuan melahirkan altet-atlet pekak yang berpotensi dan menyamai tahap antarabangsa dalam cabaran Sukan Orang Pekak Asia Pasifik dan Sukan Olimpik Orang Pekak.

“Penganjuran sukan ini mampu mendorong pengintegrasian warga pekak di dalam masyarakat umum melalui kerjasama yang terjalin dalam pengelolaan dan pengurusan kejohanan.

“SOPMA juga diharap mampu mempertingkatkan mutu sukan orang pekak dan menggalakkan penyertaan mereka di peringkat negeri dan daerah,” katanya lagi.

SOPMA ke-19 dianjurkan oleh Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak dengan kerjasama Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) dan Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti.

Sebanyak 180 pingat emas menjadi rebutan 615 atlet dari 12 kontinjen negeri. Hanya Negeri Sembilan dan Perlis yang gagal menghantar penyertaan pada edisi kali ini.

Sebagai tuan rumah, Fatimah berkata, Sarawak merupakan kontinjen terbesar, dengan menghantar seramai 105 atlet bagi memburu 12 pingat emas, sekali gus membolehkan Sarawak bergelar juara keseluruhan.

Majlis perasmian akan diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Pending malam ini yang akan disempurnakan oleh Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dr. Abdul Rahman Ismail.

Majlis penutup pula akan diadakan di tempat dan masa yang sama pada 6 Oktober.

Sementara itu, empat perlawanan bola sepak berlangsung hari ini dengan menyaksikan Sarawak menentang Melaka, dan Perak melawan Selangor pada sebelah pagi, manakala Kelantan menentang Wilayah Persekutuan dan Sabah melawan Terengganu pada sebelah petang.