Sarawak menghantar seramai 35 atlet dan lapan jurulatih paralimpiknya untuk menyertai kem Malaysia ke Kejohanan Paralimpik Asean ke-9 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 hingga 23 September depan.

Mereka merupakan sebahagian daripada keseluruhan kontijen Paralimpik Malaysia yang terdiri daripada 497 anggota, termasuk pegawai bertugas, atlet, jurulatih, pengurusan pasukan, doktor dan fisiotetapi.

Untuk rekod, Sarawak merupakan juara keseluruhan Sukan Paralimpiad Malaysia sebanyak 12 kali berturut-turut sejak tahun 1994.

Pada tahun 2015, atlet Sarawak yang menyertai pasukan Paralimpik Malaysia ke temasya yang sama di Singapura telah menyumbang sebanyak sembilan butir pingat emas, sembilan pingat perak dan satu pingat gangsa.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah mahu pencapaian ini dikekalkan.

Menurutnya, usaha mempertahankan rekod dan prestasi cemerlang atlet negeri ini dalam sukan ini sedang rancak dijalankan bermula dengan "Projek Menang Pingat" -- yang menghimpunkan atlet-atlet paralimpik yang berjaya memenangi pingat emas, perak dan gangsa di Sukan Paralimpiad di Kuching tahun lalu.

"Mereka juga merupakan atlet yang berada dalam ranking ketiga terbaik dalam sukan mengikut kategori masing-masing.

Sementara itu, katanya empat atlet negara dalam Program Podium Institut Sukan Negara, juga hampir pasti membawa bendera Sarawak ke Sukan Paralimpiad Malaysia 2018 di Perak.

"Mereka ialah Jamri Siga dalam sukan renang, Jong Yet Khie (powerlifting), Sona Agan (powerlifting) dan Julius Jeranding (renang).

Tujuh atlet lain yang turut mewakili Sarawak dalam temasya tersebut adalah daripada sukan powerlifting manakala enam daripada sukan renang, yang kini berlatih di bawah Program Elit Majlis Sukan Negara di Kuala Lumpur.

Fokus kini kata Fatimah, terarah kepada latihan untuk pelapis yang akan dipilih daripada kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) pada Januari 2018.

"Atlet-atlet berpotensi dan berprestasi akan diserap dalam Pasukan Paralimpik Sarawak untuk dilatih dan dihantar ke pertandingan pendedahan yang dianjurkan oleh Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), sepanjang tahun 2018," tambahnya lagi.