Seramai 28 atlet para Sabah terpilih bagi membawa cabaran Malaysia dalam Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 September ini.

Pemenang tiga pingat emas bagi acara 100, 200 dan 400 meter wanita kategori T13 dalam temasya sama di Singapura dua tahun lalu, Felicia Mikat, adalah antara yang akan menggalas tugas negara dalam kejohanan kali ini.

Selain itu, tiga pemain bola sepak para dari Sabah yang membantu Malaysia mengutip pingat emas dalam temasya lalu, iaitu Doriah, Shamli Waidi, dan Rolllen Marakim, sekali lagi diberi kepercayaan menyarung jersi negara.

Lain-lain atlet para dari Sabah yang turut mewakili negara termasuk Adderin Majurin, Saiful Dawang, Jacklon Ganding, Wong Kar Gee, Eddy Bernard, Junier Meccater Julius, Maswinah Suanang, Sabarudding Bacho, Eryanto Bahtiar dan Nelson Sevilin.

Pasukan bola tampar Malaysia juga menyaksikan tiga atlet dari Sabah terpilih, iaitu Harman Halion, Nating Lendeh dan Mohd Zamrin Kassim manakala Ahmad Amil Usin menyertai acara boling tenpin.

Nama-nama lain yang turut mewakili negara ialah Louis Simun dan Jaison Pengiran (renang); Mohd Nazizul Hamzah dan Muhammad Lizan Mat Sitim (ping pong); Mohd Khairul Hazwan Wahab (basikal); Lidwiba Isedor Andilah dan Rozana Mail (memanah); Mohd Sibil Guri dan Didin Terasoh (badminton); dan Mailin Mopinpin (goalball).