Edisi ketiga Perak International Century Ride (PICR) 2017 pada 21 Mei ini dijangka menarik penyertaan lebih 2,000 pelumba termasuk dari Eropah, Asia dan Asia Tenggara.

Menurut Presiden Levelo Cycling Club, Sharudin Not, lebih 1,000 penyertaan diterima sejak pendaftaran dibuka 16 Januari lalu.

"Ada pelumba dari Jerman, Singapura, Brazil, Thailand dan Indonesia telah mengesahkan penyertaan mereka. Laluan pula pasti menguji ketahanan fizikal dan mental pelumba.

"Kami menjangkakan lebih ramai lagi akan datang sebelum tarikh pendaftaran ditutup 1 April ini," katanya.

Lima kategori dipertandingkan iaitu lelaki dan wanita terbuka, junior dan senior veteran dan kategori junior.

Perlumbaan juga tersenarai di dalam kalendar pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Perak 2017.