Peminat sukan permotoran tanah air dikejutkan dengan permata baru apabila Syarifuddin Azman ataupun lebih dikenali sebagai 'Damok' muncul juara CEV Moto3 remaja dunia di Litar Catalunya Sepanyol, 13 Jun lalu.

Prinsipal Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, jika Damok memenuhi Petunjuk Prestasi Utama KPI, sudah pasti dia akan diserap ke saingan Moto3 bersama SRT.

"Sasaran yang telah diletakkan kepada Damok adalah memastikan dirinya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik jika mahu menyertai pasukan SRT," kata Razlan.

Itu reaksi Razlan mengenai Damok serta kepastian bahawa jika Damok mengakhiri musim ini dalam kedudukan 10 terbaik, Damok akan sertai SRT musim depan.

Razlan juga berkongsi bahawa Damok semakin matang selain bijak meletakkan diri dalam posisi terbaik pada setiap perlumbaan.

Bagaimanapun terdapat beberapa pihak yang mempersoalkan bahawa Damok masih terlalu muda dan kurang pengalaman untuk beraksi dalam saingan Moto3 kejuaraan motosikal dunia.

"Damok kini berusia 19 tahun dan dilihat sudah agak lewat berbanding rakan sepasukan yang lain yang baru sahaja berusia 17 tahun. Namun ia tidak menjadi satu masalah kerana umur itu bukanlah penghalang dan perkara paling penting adalah dia dapat menggunakan peluang sebaik mungkin untuk terus memperbaiki kemahirannya."