Acara WWE Wrestlemania 35 yang bersiaran pagi tadi menyaksikan beberapa kejuaraan utama bertukar tangan sekaligus menobatkan juara baharu.

Tirai Wrestlemania dibuka oleh bekas Juara Wanita WWE Alexa Bliss yang bertindak selaku pengacara dan disertai oleh bintang lagenda Hulk Hogan. Kejutan berlaku apabila Paul Heyman muncul dan mengatakan Juara Universal Brock Lesnar ingin beraksi dalam perlawanan sulung, sementelah perlawanan kemuncak diisi oleh perlawanan tiga penjuru bagi perebutan Kejuaraan Wanita WWE.

Sebaik sahaja Seth Rollins ingin masuk ke gelanggang, The Beast tanpa membuang masa terus melakukan serangan ke atasnya. Permulaan yang agak kurang cantik buat Rollins apabila Brock menghadiahkan gerakan pusingan maut F5 di lantai luar gelanggang disusuli dengan hentaman ke atas meja pengulas.

Setelah puas membelasah Rollins di luar gelanggang, barulah kedua-duanya masuk ke dalam gelanggang dan loceng perlawanan dibunyikan. German Suplex dilancarkan dan Brock cuba menghabiskan perlawanan segera dengan melakukan satu lagi F5 ke atas Rollins.

The Architect mujur dapat meloloskan diri dan menolak Brock ke arah pengadil bertugas. Peluang pengadil yang sedang tidak sedarkan diri itu dimanfaatkan Rollins dengan melakukan pukulan Low Blow kepada Brock disusuli dengan satu tendangan padu ke muka. Tiga kali henyakan Curb Stomp berjaya menumbangkan Brock dan Rollins berjaya memperoleh tiga kiraan pin sekaligus bergelar Juara Universal WWE yang baharu.



Sejarah juga tercipta apabila Kofi Kingston turut memperoleh kemenangan ke atas Daniel Bryan dalam perlawanan bagi merebut Kejuaraan WWE.

Laungan “Kofimania” oleh penonton di stadium seakan memberi semangat berapi-api buat bintang kelahiran Ghana ini. Biarpun mendapat tentangan sengit oleh sang juara, namun gerakan penyudah Trouble In Paradise berjaya membuatkan Bryan terdiam seketika dan tidak mampu menghentikan tiga kiraan pin oleh pengadil.

Menariknya, Kofi Kingston menjadi bintang Afrika-Amerika pertama bergelar Juara WWE sejak kejuaraan ini diperkenalkan pada 25 April 1963.



Perlawanan kemuncak yang pertama kali menampilkan bintang wanita juga nyata tidak mengecewakan. Perlawanan tiga penjuru melibatkan Juara Wanita Raw Ronda Rousey, Juara Wanita Smackdown Charlotte Flair dan Becky Lynch begitu sengit.

Biarpun perjalanan masuk Flair ke gelanggang kelihatan amat gah dengan turun dari helikopter, ia belum cukup memberi tuah buat anak gadis kepada bintang lagenda Ric Flair ini. Ronda dan Becky bekerjasama menjerumuskannya ke meja yang dibawa masuk menyebabkannya terpaksa berundur keluar dari gelanggang.

Pertembungan satu lawan satu antara Ronda dan Becky membuatkan arena gegak gempita. Gerakan penyudah Piper’s Pit oleh bekas Juara Wanita UFC ini tidak menjadi apabila Becky berjaya membuat tindanan bergulung sekaligus menyudahkan tiga kiraan pin.

Ronda cuba membantah keputusan pengadil dengan mendakwa bahunya tidak mencecah lantai gelanggang. Namun keputusan tetap berpihak kepada The Man yang kemudian meraikan kejayaannya sebagai juara wanita berganda Raw dan Smackdown.

Keputusan lain acara Wrestlemania:
1. Tony Nese rampas Kejuaraan Cruiserweight daripada Buddy Murphy
2. Carmella memenangi perlawanan penyingkiran Women’s Battle Royal
3. Zack Ryder & Curt Hawkins kalahkan The Revival sekaligus bergelar Juara Beregu Raw yang baharu
4. Braun Strowman memenangi edisi ke-6 Andre The Giant Memorial Battle Royal
5. AJ Styles kalahkan Randy Orton
6. The Usos ketepikan cabaran daripada Aleister Black & Ricochet, Nakamura & Rusev dan The Bar untuk kekal sebagai Juara Beregu Smackdown
7. Shane McMahon tumpaskan The Miz dalam perlawanan kiraan pin di mana saja
8. The IIconics bergelar Juara Beregu Wanita yang baharu apabila mengecewakan Sasha Banks & Bayley, Natalya & Beth Phoenix dan Tamina & Nia Jax
9. Samoa Joe pertahankan Kejuaraan Amerika Syarikat dengan menumbangkan Rey Mysterio
10. Roman Reigns kalahkan Drew McIntyre
11. Triple H benam Batista dalam perlawanan tanpa sebarang sekatan
12. Kurt Angle berputih mata dalam perlawanan selamat tinggalnya apabila tumpas kepada Baron Corbin
13. “Demon” Finn Balor rampas semula Kejuaraan Antara Benua daripada Bobby Lashley

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.