Juara Universal WWE Seth Rollins melebarkan lagi dominasinya apabila berjaya merebut Kejuaraan Beregu Raw bersama pasangan ‘bidan terjun’nya iaitu Braun Strowman di acara WWE Raw minggu ini.

Terdahulu, berlangsung perlawanan di antara Juara Amerika Syarikat AJ Styles menentang Braun Strowman dengan kejuaraan milik AJ menjadi taruhan. Namun hasil gangguan daripada Luke Gallows dan Karl Anderson, menyebabkan pengadil menghentikan perlawanan selajur memberikan kemenangan secara DQ kepada Strowman.

Melazimi strategi The Original Club (O.C) yang gemar mengkeronyok musuh mereka secara berkelompok, Strowman agak lelah untuk mendepani serangan demi serangan daripada trio tersebut. Seterusnya memaksa Seth Rollins tampil untuk memberi bantuan.

Justeru, The Beast Slayer dan Monster Among Men mengenepikan seketika prasangka sesama mereka lantas mencabar Gallows dan Anderson di perlawanan kemuncak Raw dengan Kejuaraan Beregu jenama tersebut menjadi taruhan.

Bagi memastikan kejuaraan tidak terlepas dari mereka, The O.C melakukan pelbagai strategi licik seperti mengalih perhatian pengadil termasuk bantuan daripada ketua mereka AJ Styles.

Satu hot tag yang dilakukan Rollins kepada Strowman di kemuncak perlawanan mendatangkan hasil yang positif apabila Strowman dengan gagah berjaya menumbangkan Gallows dan Anderson melalui gerakan penyudah powerslam yang cukup bertenaga di tengah gelanggang.

AJ yang cuba menghalang pula menerima habuan istimewa melalui henyakan muka Stomp daripada Seth Rollins.

Di akhir acara, kelihatan Strowman sempat menggapai Kejuaraan Universal milik Rollins menyebabkan kedua mereka saling bertentang mata seakan membayangkan bahawa bakal berlaku perebutan sengit melibatkan kedua mereka bagi meraih kejuaraan paling utama di Raw tersebut.



Dalam perkembangan lain, The Fiend Bray Wyatt terus mengganas dan menghantui WWE Universe apabila sekali lagi bertindak menyerang bintang lagenda Jerry The King Lawler yang dijadualkan untuk menjayakan segmen bual bicara The King’s Court bersama tetamu undangannya Sasha Banks.

Dengan gerakan berbisa yang pernah dipopularkan oleh Mick Foley iaitu Mandible Claw, The King terbaring tidak bermaya dikerjakan oleh makhluk ganas bertopeng tersebut yang kemudian menghilangkan diri secara tiba-tiba.

Keputusan lain acara Raw:
1. Roman Reigns tewaskan Dolph Ziggler
2. Richochet & The Miz kalahkan Drew McIntyre & Baron Corbin
3. Samoa Joe tumpaskan Cesaro dan melangkah ke pusingan seterusnya untuk Kejohanan King Of The Ring
4. New Day peroleh kemenangan DQ ke atas The Revival
5. Sami Zayn kecundang di tangan Cedric Alexander yang layak ke pusingan seterusnya untuk Kejohanan King Of The Ring
6. Juara Beregu Wanita Alexa Bliss & Nikki Cross kalahkan Mandy Rose & Sonya Deville

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEClash of Champions pada 16 September depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.