WWE Raw: Bayley berubah sikap, kejutkan WWE Universe

Oleh Hafiz Azwany Taher 4 September 2019 349
WWE Raw: Bayley berubah sikap, kejutkan WWE Universe
Seluruh WWE Universe seakan terpempan apabila menyaksikan Juara Wanita Smackdown, Bayley secara tiba-tiba beralih arah serta berubah tingkah laku dengan membelasah rakan regunya di acara WWE Raw, semalam.

Ketika perlawanan kemuncak yang dinamakan Women’s Championship Showcase melibatkan Bayley dan Juara Wanita Raw Becky Lynch menentang gandingan Alexa Bliss dan Nikki Cross berlangsung, kedua pasangan juara ini dilihat senada dan bersatu hati dalam mendepani asakan daripada pasangan Juara Regu Wanita tersebut.

Namun segalanya berubah apabila Sasha Banks muncul di pertengahan perlawanan selajur menjadi pemerhati sehingga mengganggu fokus The Man.

Perlawanan menjadi semakin rancak apabila Bayley yang agak lama terperangkap dalam serangan bertali arus daripada Bliss dan Cross, berjaya melakukan tag kepada Becky lantas membuatkan Juara Wanita Raw itu bangkit untuk mengembalikan dominasi perlawanan kembali kepada mereka.

Malangnya usaha untuk memenangi perlawanan terbantut apabila The Boss meluncur masuk ke dalam gelanggang lantas menyerang Becky, menyebabkan pengadil terpaksa menghentikan perlawanan dan memberikan kemenangan DQ kepada Becky dan Bayley.

Ingin mengulangi semula apa yang dilakukannya terhadap Becky tiga minggu lalu, Sasha membawa masuk kerusi besi dan memukul Becky menggunakan objek keras tersebut tanpa belas kasihan. Bayley yang baru mendapat kudrat kembali, naik semula ke gelanggang dan merampas kerusi besi tersebut daripada Sasha.

Tanpa disangka-sangka, Bayley yang selama ini mempamerkan karakter seorang gadis manis dan penuh susila, bertindak menyambung semula kerja jahat Sasha dengan terus menghempas kerusi besi di atas belakang Becky, membuatkan seluruh arena terkesima akibat tidak menyangka sama sekali apa yang dilakukan oleh bintang berusia 30 tahun itu.

Apa yang dilakukan Bayley ini sekaligus menandakan yang persahabatannya dengan Sasha Banks yang telah terjalin selama ini kekal utuh walaupun keduanya kini dilihat telah menyertai sisi gelap dan akan melakukan apa sahaja bagi memastikan apa yang mereka ingini bisa dikecapi.

Sasha Banks akan mencabar Becky Lynch bagi Kejuaraan Wanita Raw manakala Bayley pula bakal menerima tentangan daripada Charlotte Flair di acara WWE Clash Of Champions pada 16 September depan.



Dalam satu lagi perlawanan hebat yang berlangsung minggu ini, kontroversi sekali lagi berlaku ketika pertembungan melibatkan Samoa Joe dan Ricochet dalam perlawanan suku  akhir bagi kejohanan King Of The Ring.

Setelah berjaya memerangkap Ricochet dalam kunci Coquina Clutch di atas puncak tali gelanggang, Joe dan Ricochet sama-sama terhempas ke lantai gelanggang dengan tangan masing-masing menindan badan lawan. Pengadil bertugas John Cone terpaksa membuat kiraan pin dan natijahnya, tiada pemenang rasmi dapat dinamakan.

Setelah perbincangan dibuat dengan pegawai di belakang tabir, Joe dan Ricochet sama-sama layak untuk ke perlawanan separuh akhir dan akan terlibat dalam perlawanan tiga penjuru bersama Baron Corbin di acara Raw minggu hadapan bagi menentukan siapa yang layak untuk melangkah ke pusingan akhir kejohanan berprestij King Of The Ring di acara Clash Of Champions kelak.

Keputusan lain perlawanan di Raw:
1. Juara Beregu Raw Seth Rollins & Braun Strowman kalahkan The O.C
2. Dolph Ziggler & Robert Roode tumpaskan Zack Ryder & Curt Hawkins
3. Lacey Evans tewaskan Natalya
4. Baron Corbin layak ke separuh akhir kejohanan King Of The Ring dengan mengenepikan cabaran daripada Cedric Alexander
5. The Miz tumbangkan Cesaro

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Clash Of Champions pada 16 September dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen