Berang akibat tewas dua kali berturut-turut kepada bintang muda yang semakin menyinar Ricochet, AJ Styles mengejutkan WWE Universe apabila bertindak di luar jangkaan dengan membelasah Juara Amerika Syarikat WWE itu pasca perlawanan kemuncak di acara WWE Raw semalam.

AJ hampir merampas Kejuaraan Amerika Syarikat apabila pada satu ketika, tindanan pinnya ke atas Ricochet tidak bersahut lantas membuatkan pengadil menamakan AJ sebagai juara baharu. Namun tanpa disedari, kaki Ricochet berada di luar tali gelanggang membuatkan seorang lagi pengadil masuk ke gelanggang dan mengarahkan perlawanan disambung semula.

Percubaan kedua AJ untuk mengekalkan keputusan sedia ada berakhir dengan kegagalan apabila Ricochet berjaya melakukan tindanan pin bergulung lantas memastikan kejuaraan kekal miliknya.
Meraikan semangat kesukanan, Ricochet menghulurkan salam hormat kepada bekas Juara WWE itu.

Tanpa diduga, salam yang disambut itu bertukar menjadi sengketa apabila AJ yang berpura-pura cuba menghentikan provokasi daripada Luke Gallows dan Karl Anderson, memukul curi Ricochet. Gallows dan Anderson menambah derita buat Ricochet dengan gerakan Magic Killer disusuli dengan gerakan Styles Clash dari puncak tali gelanggang oleh AJ.

Simbol too sweet diisyaratkan oleh ketiga-tiga mereka menandakan tertubuhnya semula gagasan The Club yang diinspirasikan daripada pakatan mereka bersama ketika berada di New Japan Pro Wrestling iaitu Bullet Club sebelum mereka menyertai WWE beberapa tahun lalu.

Para penonton juga dikejutkan dengan insiden letupan ketika perlawanan pembuka tirai melibatkan Braun Strowman dan Bobby Lashley. Kedua mereka terlibat dalam perlawanan kiraan pin di mana sahaja dan berakhir dengan tragedi apabila Strowman merempuh Lashley di papan LED pentas utama menyebabkan arena bergelap seketika.


Kedua mereka terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut. Mujur kedua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan masing-masing berada dalam keadaan stabil.

Keputusan lain perlawanan di Raw:
1. Samoa Joe & Viking Raiders tewaskan The New Day
2. Lacey Evans kalahkan Natalya
3. The Miz tundukkan Elias dalam perlawanan 2 daripada 3 jatuhan
4. Juara Universal Seth Rollins & Juara Wanita Raw Becky Lynch tumpaskan pasangan suami isteri Mike & Maria Kenellis
5. Nikki Cross kalahkan Carmella
6. Drake Maverick rampas semula Kejuaraan 24/7 daripada R-Truth

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Super Showdown pada 7 Jun dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.


Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.