Tempoh 25 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat. Namun sepanjang tempoh itulah siaran mingguan ikonik WWE, iaitu Monday Night Raw telah menempuh pelbagai suka duka dan naik turun sehingga mampu bertahan sehingga hari ini, menjadikan ia sebagai sebuah siri TV berepisod paling lama dalam sejarah TV Amerika Syarikat.

Acara Raw semalam menjadi medan untuk WWE memperingati tempoh 25 tahun itu. Setelah dipromosikan sejak beberapa minggu lalu dengan pelbagai pengisian yang menarik dengan penampilan beberapa bintang lagenda WWE, ia menjadi siaran Raw yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh WWE Universe.

Bagi membawa kembali memori dan imbauan kepada peminat, siaran Raw semalam berlangsung dari dua lokasi berbeza di mana sepak mula diadakan di dewan Manhattan Centre, New York yang hanya boleh memuatkan sekitar 500 ke 1000 penonton pada satu-satu masa. Ketepikan seketika perihal jumlah penonton yang sedikit kerana di arena inilah acara WWE Raw episod pertama bersiaran iaitu pada tanggal 11 Januari 1993.


Dengan reka letak dan hiasan retro seperti Raw episod pertama, kita seakan-akan kembali ke tahun 1993 dengan tali gelanggang berwarna merah, putih dan biru, pengadil berpakaian kemeja lengan panjang bersama bow tie, dan logo WWE petak klasik. Ditambah pula dengan paduan suara pengulas lagenda Good Ol’ Jim Ross dan Jerry ‘The King’ Lawler yang mampu membawa kita kembali ke 25 tahun yang lepas.


Acara semalam dipancarkan secara berselang seli dengan arena Barclays Centre di Brooklyn dengan jumlah kehadiran melebihi 15,000 penonton. Di segmen pembukaan, kelihatan adik beradik McMahons, Shane dan Stephanie membuka acara dengan mengalu-alukan kehadiran penonton yang telah bersama-sama hadir untuk meraikan sambutan ke 25 tahun acara ini.

Tanpa individu ini, maka tiadalah Raw. Oleh kerana itu, kedua pasangan adik-beradik yang sekejap baik sekejap bermusuh ini menjemput bapa mereka merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WWE, Vince McMahon kerana telah memberikan ilham kepada penerbitan siaran TV mingguan ini.


Sebagai menghargai jasa Vince, Shane dan Stephanie menghadiahkan sebuah plak komemoratif kepada Vince. Disangka akan mendapat ucapan terima kasih. Sebaliknya Vince memperlekehkan pemberian itu kerana didakwa tidak setimpal dengan apa yang telah dilakukan selama ini.

Mungkin Vince berpegang kepada falsafah ‘ku rela dibenci’. Dirinya tidak mahu dihargai dan beliau dengan lantang turut memperlekehkan para penonton yang memenuhi arena. Namun itu semua tidak bertahan lama apabila tiba-tiba kedengaran bunyi kaca pecah yang menggamatkan arena, menandakan tibanya bekas Juara WWE sebanyak enam kali. Siapa lagi kalau bukan si botak lagenda, Stone Cold Steve Austin.


Bimbang dirinya diperlakukan apa-apa oleh Austin, Vince dengan menelan liur mengatakan yang zaman kini telah berubah. Dirinya kini tidak lagi segagah dulu dan hanya menunggu masa untuk bersara. Bukan itu saja, Vince turut ‘menyerahkan’ Shane kepada Austin untuk melampiaskan sebarang dendam jika ada, dengan mendakwa Shane masih sihat dan cergas.


Tampak yang anak beranak McMahon ini tidak belajar daripada sejarah. Tin minuman keras yang disuakan Austin itu ibarat umpan berbisa yang perlu dielak sebaik mungkin. Namun mereka menerima pemberian Austin untuk minum bersama. Sudahnya, kedua-dua anak beranak itu menerima hadiah yang selayaknya, iaitu Renjatan Stone Cold (Stone Cold Stunner). Shane paling bertuah kerana menerima dua gerakan penyudah tersebut membuatkan para penonton menjerit kegirangan.




Siaran Raw semalam turut menampilkan beberapa bintang lagenda. Undertaker dan pakatan De Generation X (Triple H, Shawn Michaels, Road Dogg, Billy Gunnn & X Pac) sempat melakukan promo hebat di arena Manhattan Centre. Susuk Undertaker yang tampak masih gagah dan menakutkan semalam, seolah-olah membayangkan yang perkataan bersara masih belum tertulis dalam kamus hidupnya. Tidak mustahil, The Deadman akan beraksi sekali lagi di acara Wrestlemania tahun ini jika kena dengan gayanya.




Kehadiran beberapa figura lagenda walaupun sebentar cuma di belakang tabir juga tetap memberikan kemeriahan. Kerinduan peminat kepada susuk Jonathan Coachman, Brother Love, MVP, Faarooq & Bradshaw, Million Dollar Man, Teddy Long, Christian, Dudley Boyz, Scott Hall, Boogey Man dan ramai lagi menambah rencah kehangatan Raw selama tiga jam ia bersiaran.




Paling mencuri tumpuan astinya penampilan beberapa bintang wanita yang pernah memeriahkan Raw seperti Bella Twins, Kelly Kelly, Jacqueline, Michelle McCool, Terri Runnels, Trish Strarus dan diva feveret penulis, Torrie Wilson amat mengujakan walaupun penampilan mereka hanya beberapa saat.


Sekali lagi, tahniah kepada WWE atas sambutan ulangtahun ke 25. Pastinya, kita berharap agar mampu untuk melihat sambutan jubli perak pula pada 25 tahun lagi.


Miz juara lagi


Raw juga semakin panas apabila Kejuaraan Antara Benua WWE sekali lagi bertukar tangan apabila The Miz berjaya menewaskan Roman Reigns di pertengahan acara.

Diiringi oleh Miztourage (Bo Dallas & Curtis Axel), Miz kelihatan bersemangat dan tampak penuh keyakinan semasa muncul selajur sempat bertentang mata dengan Pengurus Besar Smackdown Live, Daniel Bryan.

Walaupun fokus Roman sering terganggu dengan pelbagai helah daripada Dallas dan Axel, namun Roman mendominasi hampir 70% perlawanan. Gangguan demi gangguan dari luar juga menyebabkan pengadil menghalau kedua orang kuat Miz itu agar perlawanan yang lebih adil dan saksama dapat dilaksanakan.


Tanpa tipu daya dan muslihat, bukanlah The Miz namanya. Tanpa disedari, suami kepada Maryse ini awal-awal telah membuka ikatan penghadang bucu gelanggang menyebabkan Roman yang cuba melakukan rempuhan bahu, terperosok ke penjuru gelanggang dan terhantu kepada besi yang sedang terbuka. Kesudahannya, satu gerakan pemecah tengkorak (skull crushing finale) berjaya dilaksanakan dan Roman terkulai pitam tidak berdaya untuk menidakkan tiga kiraan pin oleh pengadil.


Sebagai penerima anugerah Penggusti Terbaik 2017 oleh majalah Rolling Stone, kemenangan The Miz ini mampu melonjakkan lagi namanya dalam menempuh tahun 2018 yang mendatang. Suka atau pun tidak, kita tidak mampu menidakkan kehebatan dan kelicikan The Miz sebagai seorang penggusti yang hebat, seterusnya meletakkan dirinya antara Juara Antara Benua terhebat sepanjang zaman.

Foto ehsan: WWE.com


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Royal Rumble 2018 pada 29 Januari ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.