Seakan mengulangi semula kejayaan sebagai pemenang bersama Kejohanan Regu Campuran awal tahun ini, Braun Strowman dan Alexa Bliss mencipta kejayaan sekali lagi di acara WWE Money In Bank (MITB) pagi tadi.

Tambah manis, Alexa bukan sahaja berjaya mengenepikan cabaran daripada Natalya, Lana, Naomi, Becky Lynch, Charlotte Flair, Sasha Banks dan Ember Moon dalam perlawanan bertangga MITB, malah menunaikan terus kontraknya tanpa perlu menunggu lama dengan mengganggu perlawanan di antara Juara Wanita Raw Nia Jax dengan Ronda Rousey.

Alexa bertindak memukul belakang badan Ronda yang ketika itu nyaris memperoleh kemenangan hasil gerakan kunci lengan ke atas Jax. Pengadil tidak mempunyai pilihan lantas menghentikan perlawanan dengan memberikan kemenangan DQ ke atas Nia. Satu hempasan kepala DDT diikuti dengan Twisted Bliss Moonsault berjaya memberikan kemenangan ke atas Alexa, seterusnya bergelar juara buat kali kelima.

Bagi perlawanan bertangga MITB bintang lelaki pula, Braun Strowman meneruskan momentum kemenangan dengan mengecewakan tujuh bintang lain iaitu Samoa Joe, Finn Balor, Bobby Roode, Rusev, Kevin Owens, The Miz dan Kofi Kingston.

Menggunakan sebaiknya kelebihan fizikal yang ada, saat kemuncak menyaksikan Finn Balor dan Kofi Kingston yang hanya beberapa inci untuk menggapai beg bimbit MITB, kempunan apabila dihempas keras ke lantai gelanggang oleh Strowman dan memastikan kontrak MITB bagi edisi kali ini menjadi miliknya.

Keputusan lain:
1. AJ Styles pertahan Kejuaraan WWE dengan menewaskan Shinsuke Nakamura dalam perlawanan Last Man Standing.
2. Carmella kekal Juara Wanita Smackdown dengan menumbangkan Asuka hasil campur tangan James Ellsworth.
3. Roman Reigns kalahkan Jinder Mahal.
4. Elias gagal rampas Kejuaraan Antara Benua WWE daripada Seth Rollins.
5. Bobby Lashley tumpaskan Sami Zayn.
6. Daniel Bryan benam Big Cass
7. Bludgeon Brothers tewaskan Luke Gallows & Karl Anderson seterusnya kekal sebagai Juara regu Smackdown

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.