Para penonton yang membanjiri Stadium Universiti King Saud di Riyadh, Arab Saudi kelu tidak terkata apabila The Fiend Bray Wyatt berjaya membenam Juara Universal WWE Seth Rollins di acara kemuncak WWE Crown Jewel awal pagi tadi.

Setelah kontroversi menyelubungi kesudahan perlawanan antara mereka di acara WWE Hell In A Cell awal bulan lalu, pertemuan kali ini diletakkan dalam format Falls Count Anywhere di mana tindanan pin boleh dilakukan di mana-mana sahaja termasuk luar gelanggang, di mana kedua bintang boleh melakukan apa sahaja untuk membenam lawan masing-masing.

Walau apapun yang berlaku, pengadil tidak akan sesekali menghentikan perlawanan dan pemenang mutlak mesti dimahkotakan. Justeru, Seth dan The Fiend bertarung sehingga melarat ke ruangan pentas gelanggang.

The Fiend sekali lagi dilihat menjadi mangsa kerakusan Rollins apabila terperosok ke bahagian teknikal sehingga menyebabkan berlaku sedikit letupan hasil henyakan muka oleh Rollins sebelum itu.

Namun rupanya helah telah dipasang oleh The Fiend apabila memerangkap The Beast Slayer dengan gerakan kunci rahang Mandible Claw selajur memperoleh tiga kiraan pin dan sekaligus merampas Kejuaraan Universal.

Untuk rekod, ini merupakan kejuaraan dunia kedua dimenangi The Fiend atau Bray Wyatt setelah kali terakhir bergelar juara ketika acara Elimination Chamber pada dua tahun yang lalu.

Kemenangan ini walau bagaimana pun mengundang beberapa persoalan. Ini kerana The Fiend Bray Wyatt merupakan bintang eksklusif untuk jenama Smackdown manakala Rollins pula adalah bekas juara di Raw. Adakah Kejuaraan Universal yang sebelum ini dipertandingkan di Raw akan berpindah ke Smackdown? Atau The Fiend kekal menjadi ejen bebas di mana boleh bertanding di mana-mana jenama yang dikehendakinya.

Jika benar Kejuaraan Universal akan dipindahkan ke Smackdown, justeru Kejuaraan WWE pula tidak mustahil akan kembali menjadi buruan di jenama Raw.


Bercakap tentang Kejuaraan WWE, penyandangnya Brock Lesnar dengan mudah mempertahankannya dengan menumbangkan bekas musuh ketatnya Cain Velasquez di perlawanan pembukaan semalam.

Ternyata, rekod menewaskan Brock di UFC sedekad yang lalu belum cukup untuk menjadi bekal buat Velasquez di gelanggang WWE. Biarpun kelihatan penuh yakin dengan aksi ala tempur seni campuran MMA, Velasquez tersilap membuat percaturan apabila dalam tempoh kurang lima minit, dirinya terperangkap dalam kunci lengan Kimura Lock, menyebabkan bekas Juara Heavyweight Dunia UFC ini terpaksa menyerah kalah.

Barangkali gemuruh beraksi buat kali pertama di hadapan ribuan penonton dalam pentas yang berbeza, Velasquez perlu menambah lagi ilmu di dada dan menimba lebih banyak pengalaman untuk menjadi jaguh di kedua-dua lapangan sepertimana Brock Lesnar.

Keputusan lain perlawanan di acara Crown Jewel:
1. The O.C menggungguli perlawanan beregu berangkai dengan mengenepikan cabaran daripada Dolph Ziggler & Robert Roode, Lucha House Party, Zack Ryder & Curt Hawkins, Heavy Machinery, The New Day, B Team, Juara Beregu Smackdown The Revival dan Juara Beregu Raw The Viking Raiders.
2. Jaguh tempatan Mansoor tewaskan Cesaro.
3. Jaguh tinju profesional Tyson Fury tumbangkan Braun Strowman melalui kiraan keluar.
4. R Truth terlepas Kejuaraan 24/7 kepada Samir Singh.
5. Hamberto Carillo tumpas di tangan Juara Amerika Syarikat AJ Styles.
6. Natalya kalahkan Lacey Evans dalam perlawanan pertama wanita di bumi Arab Saudi.
7. Pasukan Hulk Hogan (Roman Reigns, Ali, Shorty G, Rusev & Ricochet) tumpaskan Pasukan Ric Flair (Randy Orton, Bobby Lashley, King Corbin, Juara Antara Benua Shinsuke Nakamura & Drew McIntyre).

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Survivor Series pada 25 November depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.