Sirih pulang ke gagang, CM Punk kembali ubati rindu peminat

Oleh Hafiz Azwany Taher 14 November 2019 157
Sirih pulang ke gagang, CM Punk kembali ubati rindu peminat
Seluruh WWE Universe gegak gempita semalam apabila bintang yang sekian lama menghilang dari radar WWE, CM Punk membuat penampilan mengejutkan di program bual bicara WWE Backstage semalam.

Sebelum program mingguan WWE di saluran Fox Sport 1 itu menutup tirai, Renee Young selaku pengacara bersama Booker T, Samoa Joe, Paige dan Juara NXT Adam Cole melakukan countdown disusuli dengan lagu tema Punk, "Cult Of Personality" bergema di udara.
  ‚Äč
Tanpa banyak bicara, Punk menyatakan yang beliau akan turut serta sebagai panel dalam rancangan tersebut bermula minggu hadapan, dan menegaskan yang dirinya akan mengubah budaya di sana.



Beberapa sumber dalaman WWE melaporkan yang Punk buat masa ini terikat dengan kontrak bersama rangkaian Fox dan bukan di bawah WWE. Namun berikutan ini merupakan program terbitan WWE, syarikat gergasi dunia hiburan itu telah memberi lampu hijau buat Punk untuk memeriahkan lagi program tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir bintang berusia 41 tahun itu muncul di WWE adalah ketika acara WWE Royal Rumble 2014, sebelum mengangkat kaki berhijrah ke bidang lain seperti bertarung di arena UFC (Ultimate Fighting Championship), lakonan dan pengacaraan.

Punk ketika itu mengambil pendekatan berkerat rotan berpatah arang dengan bekas majikannya di WWE kerana mendakwa tidak mendapat layanan yang adil serta mempunyai isu dengan beberapa orang pegawai dalaman WWE. Beberapa ketika, bekas Juara WWE ini pernah menyatakan yang beliau tidak akan kembali lagi ke WWE.

Ternyata perkembangan baharu ini merupakan isyarat positif bahawa Punk akan aktif semula di WWE. Mungkin jika bukan sebagai penggusti, kepakaran Punk dalam promo dan penggunaan mikrofonnya pasti membolehkannya untuk duduk di posisi pengulas, pengurus atau setidak-tidaknya melatih bakat-bakat baharu di WWE.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Survivor Series pada 25 November depan dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 
 

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen