Ibarat berada di musim Wrestlemania, WWE berbaik hati dengan mempertemukan dua jaguh suka ramai untuk bertarung sesama sendiri bagi membuktikan siapa yang lebih hebat di acara WWE No Mercy pada 25 September depan.

Kontrak perlawanan antara John Cena dan Roman Reigns telah pun termeterai di acara Raw semalam apabila kedua mereka bertemu mata buat kali kedua dalam upacara menandatangani kontrak perlawanan impian ini.

Segmen yang dimoderasi oleh Pengurus Am Raw, Kurt Angle itu walau bagaimanapun menjadi medan cabar-mencabar dan masing-masing cuba menyerlahkan kehebatan dalam penggunaan mikrofon atau ‘promo’ dalam istilah dalaman gusti profesional.

Cena memulai ucapannya dengan menegaskan yang kehadirannya ke Raw adalah semata-mata ingin bersemuka dengan Roman yang didakwanya masih gagal untuk menggalas tanggungjawab sebagai bintang utama dan status quo nya sahaja selama ini yang menyelamatkan The Big Dog daripada digugat sesiapa. Cena tidak pedulikan semua itu. Yang penting Cena mahu mendepani Roman tidak kira sama ada bintang berdarah Samoa itu suka atau pun tidak.

Roman yang muncul tidak lama kemudian pula masih lagi dengan modalnya yang telah digunakan sejak berbulan lalu. Mendabik dada sebagai individu yang berjaya menamatkan kerjaya Undertaker di Wrestlemania pada April lalu, Roman merasakan ia adalah hujah paling ampuh untuk menggoyahkan pihak lawan. Seluruh jenama Raw kini juga didakwa berada di dalam tanah jajahan Roman dan sesiapa yang ingin ke situ, perlu melaporkan diri terus kepadanya.

Perang promo menarik ini berlarutan selama beberapa minit sebelum ianya terhenti akibat campur tangan daripada ‘Upin Ipin’ Raw iaitu Gallows dan Anderson yang mencabar Cena dan Roman dalam perlawanan beregu selepas itu. Malang buat The Club, mereka tewas dalam perlawanan tersebut.



Penulis tidak mahu mengulang kembali segala yang dilontarkan dalam segmen antara Roman dan Cena ini semalam. Cuma apa yang menarik perhatian, dalam segmen ini kelihatan seperti setiap tutur kata tidak kira daripada pihak Roman atau Cena ibarat luahan hati sebenar atau shoot yang tidak dibayangi unsur skrip mahupun sandiwara (kayfabe).

Cena juga dilihat menggunakan beberapa istilah dalaman sukan gusti seperti heel turn, promo, burial dan sebagainya, walaupun sebelum ini perkataan-perkataan tersebut merupakan pantang besar kepada Vince McMahon dan ia dilarang sama sekali untuk digunakan ketika program WWE bersiaran di TV.

Anda boleh saksikan sorotan segmen tersebut di bawah:



Namun menurut Dave Meltzer dari F4WOnline, semua yang diucapkan oleh Cena dan Roman sememangnya telah dirangka lebih awal oleh bahagian kreatif WWE dan ia bukanlah sebuah shoot promo sepertimana yang dilakukan CM Punk pada tahun 2011. Segalanya memang telah mendapat lampu hijau daripada Vince McMahon bagi menambahkan lagi rencah kehangatan untuk pertembungan antara Roman dan Cena selepas ini.

Mengenangkan yang Cena dan Roman merupakan anak emas kepada pemilik WWE itu, penulis merasakan yang keduanya tidak berapa terikat dengan segala pantang larang yang dikenakan sebelum ini. Semarah mana pun Vince atas promo yang sedikit keterlaluan itu, ia masih OK buat McMahon kerana keduanya adalah lubuk emas dan kelonggaran sewajarnya diberikan.

Persoalannya kini, di kem manakah para WWE Universe khasnya dan peminat gusti amnya akan berada dalam pertemuan bersejarah ini? Adakah mereka akan menyokong Cena, atau berpihak kepada Roman. Menariknya, kedua karakter ini adalah merupakan karakter yang sering menjadi cemuhan peminat walaupun berwatak baik.

Sejak 2006 dalam pertemuan antara Cena dan Rob Van Dam di acara ECW One Night Stand, para peminat telah mula menampakkan ketidaksukaan kepada Cena. Mungkin ketika itu arena dibanjiri dengan peminat Extreme Championship Wrestling (ECW) yang sememangnya bersifat anti-establishment. Siapa boleh lupa kain rentang gergasi yang tertulis, “If Cena wins, we riot.”



Malangnya rasa jelak peminat kepada Cena dilihat semakin menebal terutama daripada golongan peminat lelaki dewasa yang menganggap Cena adalah terlalu overrated, hero kanak-kanak, Superman dan sebagainya kerana ‘terlalu gagah’ dan jarang kalah kepada sesiapa.

Cena dianggap sebagai Hulk Hogan generasi baharu yang mana wataknya hanya sesuai bagi tujuan motivasi dan menjadi idola kanak-kanak untuk terus bangkit dan tidak mudah menyerah kalah. Dengan membuat kemunculan lebih 500 kali dalam program Make A Wish yang mensasarkan kepada golongan kanak-kanak istimewa, sudah tentu Cena amat sesuai untuk menggalas tanggungjawab ini dan ia turut diterjemahkan dalam gelanggang sehingga beliau sering disorak kanak-kanak dan wanita berbanding peminat lelaki yang lebih selesa memberi sorakan boo atau Cena sucks!

Menurut Cena, peminat mencemuhnya kerana mahukan beliau menjadi ahli gusti jahat (heel). Untuk Roman pula, peminat mencemuhnya kerana satu sebab. Roman seorang yang teruk.

Tidak dinafikan, Roman walaupun gagah dalam gelanggang, namun penguasaan mikrofonnya masih di bawah par menyebabkan peminat masih lagi tidak memberikan kepercayaan kepadanya. Oleh itu, mempertemukannya dengan Cena adalah keputusan yang tepat kerana pastinya bekas juara dunia 16 kali itu boleh memberi tunjuk ajar secara langsung atau tidak langsung kepadanya dalam soal penyampaian.



Ada yang mendakwa, perlawanan impian ini adalah salah satu usaha WWE untuk Cena menyerahkan baton kepada Roman sebagai jaguh utama selepas ini. Mengulangi sejarah pertemuan Hulk Hogan - The Rock pada 2002 dan The Rock - Cena pada 2012. Semua ini melibatkan watak suka ramai yang mewakili setiap generasi. Hogan adalah wira di Golden Era (80-an), The Rock di Attitude Era (hujung 90-an dan awal 2000), manakala Cena di PG Era (2008 – 2015).



Kini telah tiba masa untuk Roman pula menggalas tanggungjawab tersebut sementelah Cena juga kini tidak lagi menumpukan sepenuhnya kerjaya WWE nya kerana terikat dengan pelbagai komitmen lain seperti lakonan, pengacaraan dan sebagainya. Pengganti Cena perlu segera dicari dan hanya Roman dilihat layak mengisi slot tersebut dari kaca mata Vince McMahon.

Masalahnya kini, Roman pula tidak dekat di hati WWE Universe. Walaupun berulang kali WWE cuba mencipta suasana agar peminat belas dan simpati kepada sepupu The Rock ini, peminat masih lagi tidak jemu mem’boo’ beliau. Vince dan pasukannya masih gagal mencari formula bagaimana untuk menukarkan Roman yang merupakan seorang jaguh suka ramai di atas kertas, agar betul-betul diterima dan disukai sepertimana Hogan, Rock dan Cena sebelum ini.

Barangkali sesuatu akan berlaku dalam pertemuan antara mereka di No Mercy kelak. Ada yang menjangkakan Roman akan bertukar watak menjadi jahat semula, ada yang meramalkan Cena akan membuat onar sehingga peminat simpati kepada Roman, dan pelbagai lagi andaian.

Walau apa pun natijah perlawanan ini kelak, WWE perlu melakukan sesuatu yang drastik dan di luar jangkaan jika ingin terus mahukan Roman menggalas tanggungjawab yang berat itu. Jiika tidak, Roman hanya akan menjadi seorang hero yang walaupun berkarakter babyface, namun akan kekal dilabel sebagai bintang ‘ku rela dibenci’ hanya semata-mata mahu menjaga hati Vince McMahon.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.