WWE Universe menerima kejutan hari ini apabila Juara Universal WWE, Roman Reigns mengumumkan yang beliau terpaksa melepaskan kejuaraan miliknya akibat serangan leukemia.

Bercakap kepada ribuan penonton di acara WWE Raw pagi ini, Roman mendedahkan yang dirinya telah menghidap penyakit tersebut sejak 11 tahun lalu dan ia telah menyerang semula baru-baru ini.

Lantaran itu, Roman menyatakan yang beliau perlu berehat seketika untuk memberi fokus kepada kesihatan dan keluarganya. Namun, ini bukan pengakhiran segalanya kerana ketua pasukan The Shield ini akan kembali apabila berjaya menewaskan penyakit leukemia ini seterusnya aktif semula buat para peminatnya.

Pengumuman ini disambut dengan sorakan “terima kasih Roman” oleh seluruh penonton di arena disusuli dengan The Big Dog meletakkan bengkung kejuaraan Universal ke lantai gelanggang sebelum berlalu pergi dan dirangkul erat oleh Dean Ambrose dan Seth Rollins di pentas utama.

Roman Reigns telah dijadualkan untuk mempertaruhkan kejuaraannya di acara WWE Crown Jewel dengan menentang Brock Lesnar dan Braun Stowman pada 2 November depan di Arab Saudi. Pengumuman ini pastinya akan mengubah perancangan tersebut dan juara baharu pasti akan dimahkotakan tidak lama lagi.

Untuk perkembangan lanjut, saksikan acara WWE Raw pada jam 10.00 malam ini di Astro.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEEvolution pada 29 Oktober depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.