Setelah empat tahun tidak dipertandingkan, kejohanan berprestij iaitu King Of The Ring dianjurkan semula bagi menobatkan raja terbaik dalam gelanggang.

Pengumuman ini dibuat ketika acara Raw minggu ini di mana para WWE Universe akan menyaksikan lapan bintang dari jenama Raw dan lapan bintang dari jenama Smackdown akan bersaing dalam pusingan kalah mati sehingga hanya tinggal dua peserta yang akan bertembung bagi merebut gelaran diraja tersebut.

Bintang Raw yang akan terlibat adalah Baron Corbin, Cesaro, Cedric Alexander, Drew McIntyre, Ricochet, Sami Zayn Samoa Joe dan The Miz. Manakala jenama Smackdown pula akan diwakili oleh Ali, Andrade, Apollo Crews, Buddy Murphy, Chad Gable, Elias, Kevin Owens dan bintang veteran Shelton Benjamin.

Sepak mula kejohanan ini bakal berlangsung di acara Raw pada minggu hadapan dan siri pertandingan ini akan mengambil tempat di acara-acara Raw dan Smackdown pada beberapa minggu mendatang. Perlawanan akhir bagi menobatkan pemenang dan seterusnya layak bergelar raja sepanjang tahun pula akan bersiaran di acara WWE Clash of Champions pada 16 September depan.



Kejohanan King Of The Ring sebelum ini merupakan pertandingan tahunan yang telah diperkenalkan sejak dari tahun 1985 lagi menyaksikan Don Muraco menewaskan The Iron Sheikh. Namun pada tahun 1993, sebuah acara khas atau pay per view khusus bagi kejohanan ini telah diadakan sehingga tahun 2002. Ia sekaligus telah berjaya mengangkat karier sang pemenang ke tahap yang lebih tinggi seperti Bret “The Hitman” Hart, Stone Cold Steve Austin, Triple H, Kurt Angle, Edge dan Brock Lesnar.

Setelah pay per view King Of The Ring tidak lagi disiarkan, kejohanan ini tetap berlangsung di acara-acara mingguan Smackdown dengan Booker T berjaya mendabik dada bergelar raja pada tahun 2006, diikuti beberapa lagi siri kejohanan pada tahun 2010 hingga 2015.



Dalam perkembangan lain, bekas Juara Wanita WWE Sasha Banks membuat kepulangan semula yang mengejutkan semua WWE Universe di acara Raw semalam. Banks yang hilang dari radar WWE sejak acara Wrestlemania April lalu muncul dengan karakter berbeza apabila bertindak menyerang Natalya dan Juara Wanita Raw Becky Lynch.

Kembalinya The Boss ke WWE ini sekaligus mematikan semua spekulasi yang mengatakan dirinya ingin berhijrah dari WWE dan beraksi di tempat lain. Yang pasti, kehadiran Banks amat tepat pada masanya di kala divisyen wanita Raw yang agak lesu ketika ini dengan ketiadaan pencabar berwibawa terhadap The Man yang sedang galak mendominasi.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Clash of Champions pada 16 September depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.