Gadis kecil molek kelahiran Yamaguchi, Jepun, Kairi Sane diisytiharkan sebagai juara selepas berjaya menundukkan pesaingnya Shayna Blaszler dalam perlawanan akhir siri Kejohanan Mae Young Classic semalam.

Selepas beberapa minggu bersiaran dengan menyaksikan penyertaan 32 orang penggusti wanita terbaik di seluruh dunia, Kairi menepati ramalan apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir setelah berjaya menewaskan Tessa Blanchard, Bianca Belair, Dakota Kai, dan Toni Storm dalam saingan awal. Manakala Baszler pula mengecewakan Zeda, Mia Yim, Candice LeRae, dan Mercedes Martinez untuk menempah tiket bertemu dengan Kairi dalam siri perlawanan berformat kalah mati tersebut.

Perlawanan akhir ini bersiaran secara langsung pasca siaran Smackdown Live pada Rabu dan dipancarkan secara eksklusif di rangkaian WWE Network. Menampilkan juruhebah gelanggang undangan, Lilian Garcia, kedua peserta diperkenalkan bagi menambah kehangatan dan bahang perlawanan.


Atas semangat kesukanan, Kairi menghulur salam tanda hormat namun tidak disambut oleh Shayna. Pergelutan mula berlaku di mana Shayna yang mempunyai latar belakang dalam seni pertahanan diri campuran (MMA) cuba melakukan serangan kunci seperti Pematah Tangan Bersilang (cross armbreaker) dan cekak belakang leher (rear naked choke) ke atas Kairi.

Kairi pula lebih banyak menggunakan serangan klasik seperti pusingan gunting serta tendangan padu ke bahagian rusuk Shayna. Keduanya saling berbalas serangan sehingga pada satu ketika, Kairi berjaya memerangkap Shayna di penjuru gelanggang dan menyudahkan perlawanan dengan satu jatuhan siku terbang menggila (insane flying elbow) kepada Shayna yang terdampar lesu di tengah gelanggang.
Pasca perlawanan, Triple H, Stephanie McMahon dan Sara Amato yang merupakan ketua jurulatih wanita di Pusat Pembangunan Bakat WWE, tampil menghadiahkan sejambak mawar bersama trofi Kejohanan Mae Young Classic yang menjadi rebutan.

Mengulas kemenangan ini, Kairi melalui catatan di Twitter melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada semua yang telah menyokongnya selama ini:

Kairi juga sempat bergambar kenang-kenangan bersama rakan senegaranya yang kini mencipta nama di WWE seperti Shinsuke Nakamura, Asuka, Akira Tozawa serta bintang veteran Funaki yang kini menggalas tugas sebagai pengulas berbahasa Jepun untuk acara bulanan WWE.

Bagi Shayna Baszler pula, beliau optimis bahawa sesuatu yang lebih baik pasti menantinya selepas ini, biarpun tewas bermaruah kepada Kairi.

Susulan kejayaan manis ini, Triple H mengumumkan yang Kairi akan terlibat dengan perebutan Kejuaraan Wanita NXT pada November:

“Saya sangat teruja kerana kini beliau adalah juara sulung kejohanan ini. Persoalannya, apa perancangan untuknya selepas ini? Mari saya beritahu, pada 18 November ini di acara NXT Takeover dari arena Toyota Centre, Kairi akan bertarung untuk menentukan juara baharu Kejuaraan Wanita NXT,” ujar Hunter.

Mari berkenalan dengan Kairi Sane


Kairi Sane atau nama sebenarnya Kaori Housako dilahirkan pada 23 September 1988 di Hikari, Yamaguchi, Jepun. Menggunakan nama gelanggang Kairi Hojo, gadis manis berusia 28 tahun ini memulakan kariernya dalam gusti profesional pada Januari 2012 di bawah organisasi gusti bebas World Wonder Ring Stardom.

Lima tahun beraksi di situ, Kairi telah berjaya bergelar Juara World Wonder Rind Stardom, tiga kali Juara Goddess of Stardom, dan empat kali Juara Artist of Stardom. Bukan itu sahaja, beliau turut menggondol tempat pertama Kejohanan Lima Bintang Stardom pada 2015 dan Dewi Liga Regu Stardom pada tahun lepas.
Tidak cukup dengan itu, Dave Meltzer dari Wrestling Observer Newsletter turut menamakan Kairi dan sekutunya di Stardom iaitu Io Shirai dan Mayu Iwatani sebagai “tiga penggusti wanita terbaik di dunia” bagi tahun 2016.



Turut mendapat jolokan sebagai “Onna Kaizoku” atau Gadis Lanun, Kairi juga aktif berlakon dengan muncul dalam filem seperti filem SūpuUmarekawari no Monogatari pada 2012 dan beberapa buah siri TV terkenal di Jepun.
Apa yang dapat kita rumuskan waktu ini, seorang demi seorang penggusti Jepun diserap masuk sebagai bintang di WWE. Kemungkinan ia adalah usaha WWE untuk terus dekat di hati para penonton negara matahari terbit. Atau tidak mustahil ia disebabkan semakin ramai peminat gusti kini beralih kepada gusti Jepun seperti New Japan Pro Wrestling (NJPW) yang khabarnya akan meluaskan pasaran mereka ke Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Sudah tentu NJPW bakal menjadi pesaing terdekat WWE sekiranya ia menjadi realiti. Justeru, langkah kesiapsiagaan awal perlu diperkemas dengan membawa masuk penggusti Jepun sebanyak mungkin untuk menyekat kemaraan pesaing.

Apapun, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Kairi-san!


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.