Penguasaan AJ Styles selaku juara selama 371 hari akhirnya lebur apabila tewas kepada Daniel Bryan di acara WWE Smackdown Live, pagi ini.

Perlawanan yang diatur secara mengejut ini berlaku apabila AJ dan Bryan bergelut sesama sendiri di segmen pembukaan hasil provokasi oleh pengurus Brock Lesnar, Paul Heyman. Kekecohan antara dua bintang ini menjadi tidak terkawal sehingga memaksa Pesuruhjaya Smackdown, Shane McMahon dan beberapa pengadil tampil untuk meleraikan mereka.

Justeru, Shane mengarahkan agar perlawanan di antara AJ dan Bryan dengan Kejuaraan WWE menjadi taruhan di acara kemuncak. Pertembungan semula dua bintang atletik ini nyata berjaya mencuri tumpuan WWE Universe di mana Bryan nyaris-nyaris kecundang awal akibat terpelecok di bahagian lututnya.

Serangan Phenomel Forearm oleh AJ kepada Bryan tersasar dan mengenai pengadil bertugas. Peluang ini dimanfaatkan sebaiknya oleh Bryan dengan melancarkan serangan Running Knee terhadap AJ selajur berjaya menindan AJ untuk tiga kiraan pin untuk bergelar Juara WWE yang baharu.

Mengejutkan, Bryan seakan tidak puas dengan kemenangan tersebut. AJ yang terlantar tidak berdaya terus disepaknya sambil diiringi senyuman nakal tanda bermulanya episod baharu Daniel Bryan sebagai seorang penggusti berhaluan kiri selepas ini.

Dengan kemenangan ini, secara otomatik Daniel Bryan yang kini adalah Juara WWE akan bertemu Juara Universal WWE Brock Lesnar dalam perlawanan juara lawan juara di acara Survivor Series minggu depan.



Dalam perkembangan lain, Juara Wanita Smackdown Becky Lynch terpaksa melupakan hasratnya untuk bertarung dengan Juara Wanita Raw Ronda Rousey di acara WWE Survivor Series pada pagi Isnin depan.

Ini lantaran Lynch telah mengalami kecederaan hidung dan dikhuatiri mengalami konkusi semasa pergelutan beramai-ramai bintang wanita Raw dan Smackdown di acara Raw semalam. Untuk itu, Lynch telah menamakan seteru utamanya, Charlotte Flair sebagai pengganti untuk bertemu Ronda.

Sambil menegaskan yang Ronda bernasib baik kerana tidak akan dimalukannya, Lynch turut menyatakan yang pengundurannya hanya semata-mata kerana tidak mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatan WWE. Bukan kerana kecut kepada wanita yang diberi jolokan The Baddest Woman On The Planet itu.

Untuk perincian lebih lanjut, jangan lupa untuk menyaksikan acara WWE Smackdown Live jam 10.00 malam esok di saluran Astro Supersport 4.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWESurvivor Series pada 19 November ini dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.