Pemenang kontrak WWE Money In The Bank (MITB) 2017, Baron Corbin terpaksa melupakan hasrat untuk bergelar Juara WWE melalui jalan singkat apabila gagal menunaikan kontrak kejuaraan tersebut di acara Smackdown Live minggu ini.

Di acara kemuncak acara mingguan tersebut, Juara WWE Jinder Mahal telah bertemu John Cena buat pertama kalinya. Walaupun dibantu The Singh Brothers yang akhirnya dihalau oleh pengadil bertugas kerana mengganggu kelancaran perlawanan, Jinder masih sukar untuk menundukkan Juara Dunia sebanyak 16 kali itu.

Setelah gagal menyelesaikan tindanan pin hasil bantingan Penyelarasan Sikap (Attitude Adjustment), Cena cuba melalukan sesuatu yang lebih radikal dengan cuba melaksanakan gerakan tersebut dari puncak teratas gelanggang dan ia hampir-hampir meranapkan ego bintang Punjabi kelahiran Kanada tersebut.

Belum sempat pengadil menyudahkan kiraan, Corbin berlari masuk ke gelanggang dan melontar keluar Cena dari gelanggang. Pemimpin Cenation itu turut dibelasah Corbin sehingga tidak berdaya sebelum Corbin berlalu pergi.

Namun dalam perjalanan ke pentas utama, Corbin menjeling ke atas gelanggang dan kini dia sedar peluang keemasannya telah terhidang di depan mata. Dengan pantas Corbin naik semula ke gelanggang dan menyerahkan beg bimbit MITB kepada pengadil, menandakan yang dia ingin menunaikan kontraknya itu yang membolehkan dirinya mencabar penyandang juara pada bila-bila masa dan di mana jua.



Dengan penuh ghairah, Corbin menunggu Jinder bangkit berdiri semula agar pengadil dapat membunyikan loceng perlawanan. Baru sahaja tindakan selanjutnya ingin dilaksanakan, Cena naik semula ke gelanggang mengganggu fokus Corbin. Ia sekaligus memberi peluang kepada Jinder dengan melakukan tindanan pin bergulung ke atas Corbin dan membuatkan pemenang trofi memorial Andre The Giant 2016 itu berputih mata.

Ibarat mimpi, Corbin tidak percaya yang peluang keemasannya sebagai pemilik kontrak MITB yang dimegah-megahkan selama ini telah terlepas begitu sahaja. Kini dia terpaksa masuk semula ke dalam barisan untuk menunggu giliran sebagai pencabar utama jika ingin bergelar juara seperti yang diimpikan.


Sudah tentu apa yang berlaku ini akan membekaskan kesumat di hati Corbin yang kebetulan akan bertemu dengan Cena di acara SummerSlam Isnin ini. Pasti segala amarah akan dilampiaskan dan Cena sewajarnya mengambil langkah kesiapsiagaan yang sepatutnya.

Jika ingin diteliti, Corbin telah melakukan kesilapan besar dalam usahanya ini. Sepatutnya, beliau boleh menunggu sahaja Cena menindan Jinder dan barulah naik ke atas gelanggang setelah Cena berlalu. Namun kerana sikap tergopoh-gapah, Corbin telah tersilap percaturan dan menyebabkan ia menjadi sesuatu yang menjadi sesalan sepanjang hidupnya.

Cena juga turut terlepas pandang sesuatu. Jika penulis berada di tempat Cena, penulis akan membiarkan sahaja Corbin menang dan bergelar juara baharu. Ini akan memberi peluang untuk Cena bertemu Corbin untuk Kejuaraan WWE Isnin depan dan bukan sekadar perlawanan kosong sahaja.

Namun, tindakan Cena itu mungkin kerana mengenangkan Shinsuke Nakamura yang telah menempah tiket lebih awal untuk bertemu Jinder kelak. Kemenangan Corbin sudah tentu akan mengganggu misi Nakamura dan ia sedikit sebanyak akan mencalar kredibiliti Cena sebagai “ahli gusti paling baik” sepanjang zaman.

Mengulas tentang kekalahan Corbin, Jinder ketika ditemubual pasca siaran berkata yang dirinya akan melangkah gagah ke SummerSlam dan menewaskan Nakamura, sepertimana John Cena yang nyaris ditewaskannya sebelum itu.




Untuk rekod, Corbin merupakan individu ketiga yang gagal menunaikan kontrak MITB. Ironinya, ketiga-tiga kegagalan ini ada kena mengena dengan Cena. Pertama, John Cena sendiri gagal merampas kejuaraan kerana menunaikan kontrak tersebut secara “jantan” dan bukan melalui jalan belakang seperti pemenang-pemenang sebelumnya. Walaupun berjaya menewaskan CM Punk di acara sambutan Raw ke 1000 pada Julai 2012, namun kemenangan secara pembatalan yang diperoleh hasil gangguan Big Show menyebabkan kejuaraan tidak jadi berpindah milik.

Damien Sandow pula menjadi individu kedua yang gagal apabila cubaanya untuk menuntut talipinggang kejuaraan daripada Cena gagal di acara Raw pada 28 Oktober 2013 setelah ditewaskan Cena. Kini giliran Corbin pula mendapat badi MITB daripada anak emas Vince McMahon itu.

Semoga Corbin tabah dan ingatlah bahawa perjalanannya masih jauh.

Bercakap tentang SummerSlam, acara tahunan kedua terbesar WWE tersebut akan bersiaran bermula jam 5.00 pagi untuk acara sepak mula (kick off) manakala jam 7.00 pagi untuk acara penuh di WWE Network (saluran 820/840) pada Isnin ini.

Berikut merupakan senarai perlawanan yang telah dimuktamadkan:

1. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Cruiserweight WWE:
Akira Tozawa (juara) lawan Neville

2. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Regu Smackdown:
The New Day (juara) lawan The Usos

3. The Hardy Boyz & Jason Jordan lawan Juara Antara Benua The Miz, Bo Dallas & Curtis Axel

4. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Regu Raw:
Cesaro & Sheamus (juara) lawan Seth Rollins & Dean Ambrose

5. John Cena lawan Baron Corbin

6. “The Demon King” Finn Balor lawan Bray Wyatt

7. Big Show lawan Big Cass (Enzo Amore akan digantung dalam sangkar di atas gelanggang)

8. Randy Orton lawan Rusev

9. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Amerika Syarikat WWE:
AJ Styles (juara) lawan Kevin Owens ( Shane McMahon sebagai pengadil undangan)

10. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Wanita Raw:
Alexa Bliss (juara) lawan Sasha Banks

11. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan WWE:
Jinder Mahal (juara) lawan Shinsuke Nakamura

12. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Wanita Smackdown:
Naomi (juara) lawan Natalya

13. Perlawanan empat penjuru bagi merebut Kejuaraan Universal WWE:
Brock Lesnar (juara) lawan Roman Reigns lawan Samoa Joe lawan Braun Strowman

Sebelum kita menyaksikan acara hebat ini, kita imbas kembali 30 detik paling diingati sejak memulakan siaran pada tahun 1988:



Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan tonton acara SummerSlam secara langsung pada pagi Isnin ini serta saksikan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.