Juara Wanita NXT paling dominan dalam sejarah, Asuka akan diserapkan ke jenama Raw tidak lama lagi di mana video iklan acah (teaser)nya telah pun disiarkan semasa acara Raw bersiaran semalam.

Laporan daripada PWInsider menyebut yang bintang berusia 30 tahun ini akan menyertai Raw seawal bulan hadapan di mana pihak WWE Network turut akan menyiarkan kompilasi perlawanan Asuka kepada WWE Universe bagi memberikan pendedahan yang lebih meluas serta pengenalan terutama kepada peminat yang tidak mengikuti NXT.


Namun penganalisis gusti terkemuka, Dave Meltzer menjangkakan yang Asuka hanya akan muncul pada awal November depan bagi memberikan ruang untuk gadis Jepun ini pulih sepenuhnya daripada kecederaan tulang selangka yang dialaminya semasa menentang Amber Moon di acara NXT Takeover: Brooklyn pada bulan lalu.

Ketika ramai peminat mengharapkan agar Asuka menyertai jenama Smackdown Live, pengumuman ini pastinya akan sedikit mengecewakan kerana bimbang Asuka akan tenggelam di Raw akibat dominasi silih berganti Sasha Banks dan Alexa Bliss di sana. Namun ia masih ada baiknya kerana penyertaan Asuka sudah tentu akan mengubah lanskap divisyen wanita di Raw yang kini hanya di tahap suam-suam kuku.

Menurut Meltzer lagi, sebab mengapa Asuka tidak ke Smackdown Live adalah kerana para pegawai WWE merasakan yang divisyen wanita adalah mantap di situ dengan barisan bintang hebat seperti Naomi, Charlotte Flair, Becky Lynch, Tamina dan lain-lain. Berbeza dengan Raw yang kini hanya berlegar antara Sasha, Alexa, Bliss dan Nia Jax. Emma pula hanya sekadar nasi tambah untuk menjadi mangsa belasahan ketiga mereka saban minggu.

Tidak dinafikan, ketiadaan Bayley yang kini masih dalam sesi pemulihan akibat kecederaan bahu menyebabkan divisyen wanita Raw sedikit hambar. Kejuaraan yang hanya berpusing di kalangan individu yang sama sedikit sebanyak mendatangkan rasa jelak kepada penonton. Padahal, peluang itu juga patut dibuka kepada bintang wanita Raw lain seperti Alicia Fox, Dana Brooke, Summer Rae dan Mickie James.

Tidak hairanlah sekiranya perlawanan wanita Raw kini kembali menjadi segmen untuk berehat dan penonton mengambil peluang ini untuk pergi ke tandas, membancuh kopi dan sebagainya. Dilaporkan situasi inilah yang berlaku semasa perlawanan antara Sasha Banks dan Emma di acara Raw semalam, apabila kelihatan banyak kerusi kosong kerana peminat mengambil kesempatan ini untuk keluar seketika ‘mengambil angin’.


Justeru, kehadiran Asuka diharap dapat kembali memeriahkan Raw dan memberikan saingan sengit kepada divisyen wanita di sana selepas ini. Ditambah pula dengan para peserta Kejohanan Mae Young Classic yang akan menutup tirainya hari ini. Sudah pasti separuh daripada 32 peserta yang bertanding akan ditawarkan kontrak bersama WWE dan menempatkan diri masing-masing di Raw, Smackdown atau NXT tidak lama lagi.

Mampukah Strowman pecah dominasi Lesnar?



Sepertimana yang semua sedia maklum, Juara Universal WWE Brock Lesnar akan menerima tentangan daripada bintang raksasa Braun Strowman di acara WWE No Mercy pada 25 September depan.

Perlawanan yang tertangguh sejak Jun lalu akibat kecederaan bahu yang dialami Strowman, akhirnya akan menjadi realiti. Persoalannya, mampukah Strowman menggalas amanah yang berat ini?

Jika dilihat senarai bintang utama Raw waktu ini, tiada siapa yang lebih layak untuk menjadi calon pencabar utama selain Strowman. Roman Reigns sedang sibuk berbalas ejek mengejek dengan John Cena, Samoa Joe pula terpaksa berehat kerana mengalami masalah lutut, Seth Rollins dan Dean Ambrose pula sedang bersaing dalam divisyen regu. Manakala Finn Balor pula belum selesai lagi konfliknya dengan Bray Wyatt.

Penguasaan Strowman sejak tahun lalu boleh dianggap mengagumkan. Walaupun beliau merupakan antara bintang yang paling junior dan masih hijau, namun usahanya untuk meningkatkan potensi dari minggu ke minggu wajar diberi pujian. Siapa sangka, pemuda berusia 32 tahun yang bermula sebagai tukang sorak kepada Adam Rose dalam kelompok Rose Buds ini, mampu menyinar dan meletakkan dirinya dalam kelompok elit di WWE.



Sejak dimasukkan ke Raw tahun lalu, Strowman terus mengganas dan mampu mempamerkan aksi mengagumkan walaupun bertubuh gergasi. Ramai yang telah menjadi mangsanya. Antaranya seperti Roman Reigns, Big Show dan yang terbaru, John Cena. Lihat bagaimana Strowman yang ‘mentah’ ini berjaya menjinakkan Cena yang terkulai layu menjadi ‘sayur’ dalam perlawanan mereka di Raw semalam.


Jika kita mengambil apa yang berlaku semasa segmen promo Lesnar-Heyman di siaran Raw semalam sebagai kayu ukur dan penanda aras, Strowman nampaknya mempunyai potensi untuk membenam Lesnar seterusnya merampas gelaran Juara Universal daripada The Beast. Lihat bagaimana Strowman mampu berdiri megah walaupun dihadiahkan gerakan Kota Suplex oleh Lesnar. Sesuatu yang mengejutkan Paul Heyman dan semua WWE Universe.


Walaupun Lesnar mempunyai susuk fizikal yang menggerunkan, namun Strowman dilihat lebih mempunyai kelebihan. Dengan tinggi dan berat yang lebih ke hadapan berbanding Lesnar, agak sukar buat bekas Juara UFC itu untuk mendominasi Strowman sepertimana lawan-lawannya yang lain sebelum ini.

Untuk melakukan gerakan Kota Suplex berulang kali kepada Strowman pastinya melelahkan. Inikan pula gerakan penyudah Pusingan Beliung F5 yang memerlukan Lesnar untuk menjulang Strowman ke atas bahunya. Pasti ia bukan satu tugasan enteng buat suami kepada Sable ini.

Namun harus diingat yang Lesnar bukan seorang jaguh biasa-biasa. Berbekalkan pengalaman memusnahkan rekod tanpa kalah Undertaker di acara Wrestlemania beberapa tahun lalu, sudah pasti beliau telah mengatur strategi ampuh bagaimana untuk menumbangkan raksasa bergelar Braun Strowman ini. Sedangkan Big Show yang mempunyai berat hampir 500 paun itu pun mampu diangkat dan terpusing dalam badai F5, inikan pula Strowman yang masih hijau itu.

Tambahan pula pergerakan Strowman agak perlahan berbanding Lesnar. Dengan gerakan penyudahnya iaitu Larian Hempasan Perkasa (running powerslam) yang pernah dipopularkan oleh mendiang British Bulldog, penulis tidak fikir ia mampu untuk menjadi ubat pelali bagi memitamkan Lesnar. Melainkan gerakan tersebut dilakukan berulang-ulang sehingga betul-betul menggelapkan mata jaguh itu.

Paul Heyman selaku penasihat kepada Lesnar juga sudah tentu tidak akan duduk diam. Beliau pasti akan menggunakan pengaruhnya di belakang tabir untuk meyakinkan pegawai WWE agar mengekalkan bengkung Kejuaraan Universal itu kekal terikat kemas di pinggang Lesnar. Sekuat mana pun Braun Strowman, kuasa politik pasti mampu menumbangkannya.
Apapun, pertembungan antara dua raksasa ini pasti amat menarik. Jika ditanya kepada penulis, sudah tentu harapan disandarkan kepada Strowman untuk menang agar Kejuaraan Universal dapat muncul lebih kerap di Raw. Namun, Lesnar juga berpotensi untuk menang kerana khidmatnya sebagai juara pasti masih didambakan kerana WWE akan menuju ke kempen acara WWE Survivor Series pada November depan.

Apa yang pasti, yang lebih gagah dan bijak pasti akan dijulang sebagai pemenang.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.