Persembahan Argentina tidak kejutkan kami -- Hallgrimsson

Oleh Staff Writer 17 Jun 2018 3447
Persembahan Argentina tidak kejutkan kami -- Hallgrimsson
Heimir Hallgrimsson menyifatkan kejayaan mengikat Argentina 1-1 sebagai satu pencapaian besar buat Iceland dan mendedahkan corak permainan naib juara Piala Dunia 2014 itu sudah dijangka.

Iceland hanya memerlukan empat minit untuk memadamkan jaringan Sergio Aguero menerusi Alfred Finnbogason, sekali gus membolehkan Iceland mencuri satu mata di Stadium Spartak.

Hallgrimsson tanpa berselindung memuji persembahan pemain-pemainnya walaupun Argentina menguasai sebahagian besar perlawanan, termasuk sepakan penalti yang gagal disempurnakan Lionel Messi.

"Ia satu pencapaian membanggakan buat pasukan kami yang beraksi buat kali pertama dalam Piala Dunia. Beraksi berdepan Argentina pastinya bukan sesuatu yang mudah dan meraih satu mata sudah tentu lebih bagus berbanding tewas," katanya.

"Kami tahu bagaimana Argentina akan beraksi. Mereka mampu mengawal hampir 70 peratus permainan tetapi kami bertahan dengan cemerlang. Pemain-pemain seharusnya menerima pujian selepas mengekang barisan pemain bertaraf dunia.

"Tiada sebarang kejutan yang ditampilkan Argentina buat kami dan Iceland telah menyekat sebarang ancaman daripada mereka sebelum ia dilancarkan.

"Kami jujur dengan kebolehan kami dan tahu bagaimana untuk mengatasi pasukan seperti Argentina. Mereka sangat hebat secara individu, bermain dalam liga yang lebih bagus bersama pasukan yang lebih baik. Anda sudah tahu siapa pemenangnya jika ia melibatkan aksi satu lawan satu.

"Jika kami mahu mendapatkan mata, kami harus bermain menerusi penglibatan berpasukan. Jadi, saya rasa semua pemain menikmati corak permainan ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen