Neymar impikan Piala Dunia, kecam taktikal Austria

Oleh Staff Writer 11 Jun 2018 16365
Neymar impikan Piala Dunia, kecam taktikal Austria
Bintang Brazil, Neymar, berpendapat pasukannya telah membuktikan keazaman untuk menjuarai Piala Dunia selepas menundukkan Austria 3-0 sambil menegaskan ketakutannya terhadap kecederaan yang dialami telah diuji sepenuhnya.

Pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu telah mengalami cabaran yang besar ketika tampil buat kali pertama dalam kesebelasan utama sejak Februari lalu akibat masalah kecederaan patah tulang metatarsal sebelum menjaringkan gol hebat pada minit ke-63.

Sebelum ini, kecederaan juga menyaksikan Neymar terpaksa sekadar menonton pasukan Brazil ketika dimalukan oleh Jerman 7-1 di peringkat separuh akhir Piala Dunia 2014, namun kini percaya skuad kendalian Tite itu semakin jelas dengan cita-cita yang ingin dicapai.

"Anda harus mempercayai cita-cita anda," kata Neymar selepas berkongsi kedudukan penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman Brazil bersama Romario dengan jumlah 55 gol.

"Anda boleh bercakap, anda seorang warga Brazil dan boleh berangan-angan tentangnya. Ia bukan satu kesalahan."

Pemain berusia 26 tahun itu kini lebih yakin untuk turun beraksi selepas mengharungi tempoh 83 minit ketika bertemu Austria, di mana dia dikasari sebanyak lapan kali.

Antara insiden yang paling utama adalah ketika kapten lawan, Julian Baumgartlinger, memijak bahagian buku lalinya pada minit ketiga perlawanan di Stadium Ernst-Happel, membuatkan Neymar berjenaka bahawa corak permainan tuan rumah lebih sesuai dalam sukan seni mempertahankan diri.

"Kami telah bersedia untuk aksi UFC pada hari ini dan ia bagus. Semua orang tidak mengalami kecederaan," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen