Neymar akui nilai perpindahan terlalu tinggi

Oleh Staff Writer 15 Jun 2018 10529
Neymar akui nilai perpindahan terlalu tinggi
Neymar berpendapat dia tidak layak dengan nilai EUR222 juta (RM1.02 bilion) yang dibayar Paris Saint-Germain (PSG) kepada Barcelona ketika mahu mendapatkan khidmatnya.

Bintang Brazil itu menyinar dalam musim pertamanya di pentas Ligue 1 sebelum mengalami kecederaan sebelum saingan 2017/18 tamat.

Situasi itu membuatkan Neymar terlepas aksi timbal balik pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah bertemu Real Madrid sebelum dapat mengesahkan kejuaraan domestik di Perancis.

Dia yang kini kembali ke tahap terbaik dan bersedia untuk membarisi skuad Selecao di Russia berkata dia gembira apabila dilihat sebagai pemain istimewa tetapi nilai itu terlalu tinggi.

"Saya tidak bangga dengan jumlah yuran perpindahan itu, termasuk status selaku pemain termahal dunia," katanya.

"Ia hanya wang dan tidak memberikan sebarang makna. Saya tidak boleh mengubahnya dan secara jujur, saya tidak akan membayar sebegitu banyak untuk mendapatkan khidmat saya.

"Saya sentiasa mahu menjadi pemain istimewa dan bekerja keras serta berkorban setiap hari untuk bergelar profesional. Itulah impian saya.

"Sebelum ini, saya menyimpan hasrat beraksi dalam skuad utama Santos, menarik perhatian skuad kebangsaan dan menerima panggilan ke Eropah. Ia tidak jelas pada mulanya tetapi saya tetap memikirkannya."

Neymar tidak beraksi sewaktu Brazil dimalukan Jerman 7-1 dalam separuh akhir Piala Dunia 2014 di laman sendiri dan kini berhasrat dapat memadam kepahitan itu di Russia.

"Saya merasai perit kekalahan sama seperti pemain lain. Kini, harapan menggunung buat kami tetapi Jerman tetap lawan yang hebat.

"Kami sedar ia tidak akan mudah dan akhirnya kekalahan itu berlaku. Kini, kami berpeluang untuk memulihkan nama kami. Mungkin Brazil akan berdepan Jerman sekali lagi dan diharapkan kami dapat membalas dendam."

Skuad Selecao akan memulakan cabaran di Russia berdepan Switzerland, Ahad ini, sebelum bertemu Costa Rica dan Serbia bagi baki aksi Kumpulan E.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen