Hatrik Ronaldo buat Sepanyol kempunan

Oleh Staff Writer 16 Jun 2018 25208
Hatrik Ronaldo buat Sepanyol kempunan
PORTUGAL 3 SEPANYOL 3

Tiga gol daripada Cristiano Ronaldo membolehkan Portugal menafikan hasrat Sepanyol untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama Kumpulan B, awal pagi tadi.


Kedua-dua pasukan memulakan aksi di Stadium Olimpik Fisht dengan misi meraih kemenangan, terutama selepas masing-masing gagal melepasi peringkat kumpulan dalam saingan empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Portugal terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keempat selepas skuad bimbingan Fernando Santos itu dianugerahkan sepakan penalti susulan tindakan Nacho Fernandez menjatuhkan Ronaldo.

Penggempur Real Madrid itu tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang tersebut, sekali gus menewaskan penjaga gol, David De Gea.

Kedudukan 1-0 hanya bertahan selama 20 minit apabila Diego Costa menjaringkan gol penyamaan buat Sepanyol pada minit ke-24. Dia menggelecek tiga pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan melepasi Rui Patricio walaupun penyerang Atletico Madrid itu dilihat mengasari Pepe sebelum itu.

Andres Iniesta hampir meletakkan La Roja di depan pada minit ke-34 menerusi rembatan leret kaki kiri selepas menerima hantaran Jordi Alba, namun percubaan pemain veteran Barcelona itu sekadar sipi di sebelah kiri pintu gol lawan.

Sebaliknya, Portugal menambah gol kedua ketika separuh masa pertama berbaki seminit, sekali lagi menerusi Ronaldo setelah tendangan deras kaki kirinya gagal ditampan De Gea dengan kemas, membolehkan Portugal mendahului 2-1 dalam 45 minit pertama.

Bersambung babak kedua, Sepanyol hanya memerlukan sembilan minit untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan kedua peribadi Costa.

Bola sepakan percuma David Silva dari luar kotak penalti ditanduk oleh Sergio Busquets sehingga memberikan ruang buat bekas pemain Chelsea itu untuk mudah menolak masuk bagi menjadikan kedudukan 2-2.

Belum sempat Portugal memperkemaskan permainan, Sepanyol menambah jaringan untuk meraih pendahuluan buat kali pertama pada minit ke-57.

Nacho menebus kesilapannya menghadiahkan penalti buat lawan sebelum ini apabila melepaskan sepakan separuh voli kaki kanan yang menyaksikan bola percubaannya terkena tiang sebelum masuk ke gawang dan membuatkan Patricio tewas buat kali ketiga.

Ronaldo berpeluang untuk mengikat kedudukan 3-3 menerusi sepakan percuma pada minit ke-88 dan dia menggunakan kesempatan itu untuk mencatat hatrik pertama dalam Piala Dunia 2018 menerusi tendangan kencang yang tepat menerjah jaring gol.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus memberikan kedua-dua pasukan satu mata selepas aksi pertama Kumpulan B.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen