Finnbogason lakar sejarah, Messi buat Argentina kempunan

Oleh Staff Writer 16 Jun 2018 9382
 Finnbogason lakar sejarah, Messi buat Argentina kempunan
ARGENTINA 1 ICELAND 1 

Hannes Thor Halldorsson muncul wira Iceland apabila penjaga gawang itu menampan sepakan penalti Lionel Messi untuk pasukannya mengikat Argentina 1-1, sebentar tadi.


Dengan Diego Maradona menonton dari tempat duduk, Messi gagal menyempurnakan penalti dalam babak kedua dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Otkrytie Arena, Moscow.

Sergio Aguero terlebih dahulu meletakkan finalis edisi lalu itu di depan pada minit ke-19 untuk mengakhiri kemarau gol dalam penampilan kesembilannya di pentas tertinggi menerusi rembatan padu kaki kiri. 

Namun, Iceland enggan 'mencair' dalam penampilan pertama pentas terbesar itu. Alfred Finnbogason memanfaatkan tumbukan lemah Willy Caballero untuk menjaringkan gol sulung negaranya dalam sejarah kejohanan itu, hanya empat minit kemudian.

Bagaimanapun, Iceland terhutang budi kepada Halldorsson untuk memungut satu mata selepas tangkas menafikan penalti Messi selepas sejam permainan berlangsung. 

Argentina pasti memerlukan kebangkitan ketika menghadapi Croatia di Nizhny pada Khamis ini manakala Iceland akan menentang Nigeria di Volgograd keesokannya.

Kurang 24 jam selepas persembahan cemerlang Cristiano Ronaldo bersama Portugal ketika menentang Sepanyol di Sochi, semua mata terarah kepada Messi di ibu kota Russia itu.

Kapten Argentina itu dua kali dikekang Halldorsson melalui percubaan jarak jauh dalam babak pertama, namun Aguero menemui jalan untuk menewaskan penjaga gawang Iceland berkenaan. 

Penyerang Manchester City itu menyambung percubaan rakan sepasukan, Marcos Rojo, dengan bijak mengawal bola di dalam kawasan penalti sebelum melancarkan rembatan deras.

Jaringan Argentina itu tidak bertahan lama, dengan Birkir Bjarnason terlebih dahulu berpeluang menyumbat gol tetapi sepakannya meliar.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Heimir Hallgrimsson itu memiliki semangat juang yang tinggi. Finnbogason berada di kedudukan tepat untuk melakar sejarah untuk negaranya dengan menghukum kelekaan pertahanan lawan selepas Caballero gagal mengeluarkan bola dengan cermat lalu memberi ruang kepada penyerang Augsburg itu. 

Susulan kelebihan mereka lenyap dengan pantas, Argentina meningkatkan asakan dalam pemburuan gol kedua berbanding lawan yang lebih gemar berkampung di kawasan sendiri. 

Mereka beroleh kesempatan untuk kembali memimpin permainan berikutan kekasaran Hordur Magnusson terhadap Maximiliano Meza dihidu pengadil, Szymon Marciniak, tanpa bantuan teknologi.

Namun, Halldorsson dapat menduga dengan betul sepakan Messi -- bintang Barcelona itu kini gagal menyempurnkan empat daripada tujuh penalti terakhir untuk kelab dan negara.

Penjaga gol itu juga tangkas mengawal gawangnya untuk memastikan percubaan pemain gantian, Cristian Pavon, tatkala Iceland -- yang juga mengikat Portugal 1-1 dalam perlawanan pembukaan Euro 2016 -- untuk kental bertahan meraih satu lagi keputusan hebat dalam sejarah bola sepak mereka.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen