Rafael Nadal, Novak Djokovic dan Alexander Zverev masing-masing menempah tempat dalam pusingan kedua Grand Slam Wimbledon, awal pagi tadi.

Ketika beberapa pilihan kejohanan terkandas awal, pemain utama kejohanan seperti Nadal dan Djokovic mempamerkan aksi bertenaga.

Nadal, Djokovic dan Zverev hanya memerlukan tiga set untuk mara, namun nasib berbeza dialami pencabar yang lain sementara beberapa keputusan mengejut mencerahkan laluan Juan Martin del Potro untuk ke final.

Bagaimanapun, Zverev berdepan laluan berliku kerana Djokovic menantinya.

Pemain Jerman itu yang merupakan pilihan keempat, diuji oleh James Duckworth dalam set pembukaan sebelum memperkemaskan permainannya untuk menang 7-5, 6-2, 6-0.

Sementara itu, Djokovic yang berdepan Tennys Sandgren mudah mengecewakan lawannya itu dalam aksi set ketiga selepas mendominasi pertarungan itu.

Pemain Serbia itu, yang masih belum mencapai kemuncak prestasinya, bagaimanapun kelihatan mendapat motivasi daripada pesaingnya seperti Nadal -- yang menang ke atas Dudi Sela -- untuk meneruskan kecemerlangan mereka.

Dia berkata: "Ia memberi inspirasi kepada saya, ia memberi inspirasi kepada ramai pemain: atas pencapaian mereka (Nadal dan Roger Federer) memenangi gelaran, bangkit daripada kecederaan dan masih mampu menduduki ranking atasan dunia serta memenangi kejohanan utama dunia."