Rafael Nadal dan Novak Djokovic melakar kemenangan untuk mara ke pusingan keempat Wimbledon semalam.

Nadal -- pemain pilihan kedua kejohanan -- tenang mengatasi Alex de Minaur dengan hanya kehilangan tujuh permainan sepanjang perlawanan dan kemenangan ini menjamin dia kekal sebagai pemain nombor satu dunia.

Juara Wimbledon tiga kali, Djokovic, pula mengharungi tugas berliku berdepan wakil tuan rumah, Kyle Edmund, dengan terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk menang 4-6, 6-3, 6-2, 6-4.

Djokovic dan Nadal kekal di landasan untuk bertemu dalam separuh akhir tetapi cabaran Alexander Zverev terhenti selepas tewas dalam pertembungan lima set di tangan Ernests Gulbis.

Juara tiga kali Masters 1000, Zverev, hanya membuat satu penampilan dalam suku akhir kejohanan grand slam tahun ini dalam Terbuka Perancis.

Gulbis akan bertemu Kei Nishikori esok selepas bintang Jepun itu menewaskan Nick Kyrgios manakala Juan Martin Del Potro, Milos Raonic, Karen Khachanov, Gilles Simon dan Jiri Vesely turut layak ke pusingan 16.