Juara Kejohanan Grand Slam Wimbledon 2018, Novak Djokovic, tidak menyangka akan kembali ke tahap tertingginya susulan pembedahan siku.

Djokovic terpaksa menarik diri ketika menentang Tomas Berdych di peringkat suku akhir Wimbledon 2017 akibat kecederaan berkenaan sehingga terlepas baki kempen Jelajah ATP.

Pada Februari lalu, pemain Serbia terbabit mengesahkan dia menjalani pembedahan kecil selepas menempa kekalahan keempatnya kepada Chung Hyeon dalam Terbuka Australia.

Ia merupakan halangan terbaru bagi bekas pemain nombor satu dunia itu yang mengalami krisis keyakinan selepas kali terakhir meraih kejayaan menerusi Grand Slam Terbuka Perancis pada 2016.

Itulah kemenangan terakhirnya sehinggalah dia mengalahkan Kevin Anderson 6-2, 6-2, 7-6 (7-3) di Center Court awal pagi tadi untuk menjuarai Wimbledon keempatnya yang juga gelaran grand slam ke-13 miliknya, sesuatu yang tidak dijangkanya.

"Saya tidak mengharapkan untuk kembali dalam prestasi terbaik di sini, di Wimbledon, ia begitu cepat. Jika anda bertanya kepada saya selepas Roland Garros, saya pasti akan meraguinya," kata Djokovic, yang pada mulanya bercadang untuk tidak bertanding selepas terkandas kepada Marco Cecchinato dalam suku akhir Terbuka Perancis.

"Pada masa sama, terdapat sebahagian daripada saya yang sentiasa percaya dengan kebolehan sendiri. Setiap kali saya hadir dalam kejohanan, khususnya grand slam, saya percaya mempunyai peluang yang baik untuk merebut trofi.

"Cita-cita saya agak tinggi, mungkin saya menentang diri sendiri, terutama beberapa bulan pertama selepas menjalani pembedahan kerana jangkaannya sangat tinggi oleh saya sendiri yang tidak faham mengapa saya tidak boleh mengulangi tahap permainan tertinggi seperti yang diamalkan sebelum ini.

"Mudah untuk membicarakannya pada masa ini. Saya perlu meneruskannya tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang sangat rapat dengan saya serta benar-benar percaya kepada kemampuan saya," katanya.

Bermain di peringkat separuh akhir menerusi lima set klasik menentang pemain nombor satu dunia dan pemenang kejuaraan utama sebanyak 17 kali, Rafael Nadal, lawan yang sering dihadapinya dalam Jelajah ATP merupakan cabaran yang diperlukan Djokovic.

Ditanya sama ada dia telah membuktikan sesuatu dalam Wimbledon, dia berkata: "Lebih kepada diri sendiri berikutan kekalahan di peringkat suku akhir Roland Garros kerana pertarungan ini mempunyai persamaan. Ia perlawanan yang panjang, saya tidak bermain baik pada masa yang tepat.

"Itulah sesuatu yang saya kehilangan, semangat beraksi dalam perlawanan yang kompetitif dengan menghadapi pencabar utama di peringkat getir.

"Bermain menentang Nadal di peringkat separuh akhir di sini adalah ujian terbesar yang saya boleh buat untuk itu, hanya untuk melihat sama ada saya boleh menang. Itulah sebabnya saya bertungkus-lumus selain berusaha keras memenangi perlawanan itu kerana saya tahu betapa besar maknanya buat saya.

"Saya fikir dalam dua aksi terawal ketika menentang Kevin, walaupun anda boleh menghidunya gugup, anda tidak dapat mengenal pasti adakah dia bermain di tahap terbaik.

"(Dia) melakukan banyak kesilapan tetapi saya fikir permainan saya sangat-sangat mantap. Mungkin ia dua set terbaik yang saya pamerkan sejak sekian lama."