Pemain negara, Hayden Khoo Menon, membuktikan keunggulan muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Tenis Konfederasi Tenis Asia (ATF) Bawah 14 (B-14) Tahun di Kuala Terengganu, hari ini.



Kejuaraan sulung ATF bagi Hayden, 13, itu diraih selepas mengatasi tentangan wakil Slovakia, Kristian Janci, 6-2, 6-4 dalam aksi final.

Diletakkan selaku pilihan ketujuh, Hayden berada dalam kelas tersendiri berjaya mematikan langkah pilihan ketiga, Janci, dengan penguasaan gelanggang dalam kedua-dua set.

Lebih manis lagi, pemain kelahiran Selangor itu mencatat kemenangan straight set sejak pusingan pertama dalam kejohanan enam hari itu.

“Saya bermula baik pada set pertama dan dapat menyesuaikan diri dengan rentak serta membaca corak pemain lawan.

“Set berikutnya saya agak gugup dan keletihan. Ketinggalan 2-5, Janci merapatkan mata 4-5 dan ia memaksa saya menunggunya melakukan kesilapan, seterusnya memberikan saya kemenangan ini,” ujarnya.

Nasib berbeza dialami seorang lagi pemain negara, Shihomi Li Xuan Leong, dalam acara perseorangan perempuan apabila dikecewakan Lok Shu Tang dari Hong Kong, 3-6, 3-6.

Acara beregu lelaki dimenangi gandingan China, Yimin Gong-Yuan Liang Li, yang menang 6-2, 6-1 ke atas Janci dan Ludvig Denker dari Sweden.

Pasangan beregu Hong Kong, Hannah Kaile Shen-Shu Tang, pula dinobat selaku juara beregu perempuan apabila menewaskan rakan senegara, Wing Yan Emily Chan-Kei Yau Cheung, 6-3, 6-4.