Kelab Tenis Universiti Malaysia Terengganu (UMATiC) mengetepikan tujuh pasukan lain untuk menjuarai Kejohanan Tenis Berpasukan Tertutup Terengganu, kelmarin.

Dengan menewaskan pasukan daerah Kuala Nerus 2-1 dalam saingan akhir, UMATiC, yang dibarisi Mohd Nor Shokri Abd Rahman, Dr. Zakaria Mohamad, Nafiah@Mohd Razi Yaziz, Shukur Saad, Ahmad Iqbal Ahmad Razali, Mohd Aizad Zahir, Mohd Khalis Hali Hamzah dan Zunaidi Ibrahim, memenangi trofi, medal dan wang tunai RM300.

Pemain-pemain Kuala Nerus, iaitu Wahab Mohd Hashim, Azhar A. Rahman, Marwan Saad Azzubaidi, Muhammad Qairee, Fadzlah Suhaimie Rusli, Tengku Nor Fazyudi Tengku Embong, Mohd Norizwa Muda dan Sabri Awang pula membawa pulang trofi, medal dan RM250.

Pasukan tenis dari Marang dan Kuala Terengganu masing-masing berkongsi hadiah tempat ketiga berupa trofi, medal dan wang tunai RM220 selepas tumpas dalam separuh akhir.

Menurut pengarah kejohanan, Hashim Ibrahim, kejohanan dua hari itu menghimpunkan seramai 60 pemain daripada lapan pasukan bertanding.

Antara yang mengambil bahagian adalah Kelab Tenis Kuala Berang, Dungun, Kemaman dan Kuala Nerus.

"Sambutan yang diterima begitu menggalakkan dengan format berpasukan tiga beregu serta dua pemain perseorangan.

"Hanya pasukan dari daerah Besut dan Setiu tidak menghantar penyertaan dan kami berharap dapat menarik lebih ramai pemain untuk edisi akan datang," katanya.