Serena Williams menjadikan kejayaan Tiger Woods merangkul kejuaraan Kejohanan Golf Masters sebagai inspirasinya dalam Terbuka Wimbledon ketika berjuang untuk meraih gelaran grand slam ke-24.

Setelah bertahun-tahun dibelenggu kecederaan dan dilanda kontroversi dalam kisah kehidupan peribadinya, Woods akhirnya meraih kejuaraan utama ke-15 pada usia 43 tahun di Augusta, April lalu.

Peluang Woods untuk menjulang kejayaan di peringkat itu disifatkan sebagai sudah terpadam dan begitu juga dengan Williams.

Wujud kesangsian bahawa pemain tenis dari Amerika Syarikat itu akan berdepan kesukaran untuk menyamai rekod kemenangan grand slam milik Margaret Court.

Williams, bagaimanapun, tidak pernah hilang keyakinan terhadap keupayaannya untuk merangkul gelaran di peringkat tertinggi dan pemain berusia 37 tahun itu biasanya mencapainya.

Dia akan berentap dengan bintang Romania, Simona Halep, dalam perlawanan akhir malam esok (9 malam waktu Malaysia) untuk gelaran Wimbledon kelapannya.

Dia berasakan teknologi perubatan telah memperluaskan karier atlet sepertinya dengan berkata: "Itulah satu-satunya alasan mengapa saya terus bersaing.

"Saya berasakan jika kita mempunyai teknologi ini 20 tahun lalu, mungkin Michael Jordan masih bermain bola keranjang. Ketika ini saya berasakan lebih mengenali tubuh badan sendiri.

"Perkara yang saya lakukan ketika ini adalah berbeza daripada ketika kali pertama saya terlibat dalam siri jelajah. Pendekatan ini memanjangkan kerjaya saya.

"Bukan hanya saya , ia termasuklah Roger (Federer), Tom Brady, Peyton (Manning). Kini ramai atlet mampu beraksi dengan lebih baik dan melanjutkan karier dengan lebih lama, bahkan menampilkan aksi terbaik selepas berusia 30 tahun.

"Atlet-atlet seperti itu, misalnya Woods, pencapaiannya dalam Masters sentiasa berlegar-legar di dalam fikiran saya. Mereka sangat mengagumkan. Itulah satu perkara yang membuatkan saya terus maju."

Williams menyingkirkan Barbora Strycova dalam aksi separuh akhir menerusi kemenangan 6-1, 6-2 selepas berjuang dalam tempoh 59 minit, awal pagi tadi.

Dia mengasah pengalamannya ketika beraksi dalam kategori beregu campuran bersama-sama Andy Murray sepanjang minggu lalu dan menyifatkannya sebagai bahagian penting dalam kejohanan itu serta percaya ia telah membantunya menajamkan sentuhan di jaring.

"Berulang kali saya katakan bahawa acara beregu campuran telah membantu saya," kata Williams dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Saya benar-benar berasakan ia membantu saya, bukan hanya untuk hari ini dan acara ini. Diharapkan ia akan terus membantu saya pada masa akan datang."

Williams turut melangkah ke separuh akhir, 12 bulan lalu sebelum tumpas kepada Angelique Kerber dalam final Terbuka AS tatkala dia di ambang kejuaraan grand slam ke-24, namun secara kontroversinya ditundukkan Naomi Osaka dalam penentuan kejuaraan.

Setelah berhempas-pulas untuk bangkit selepas melahirkan anak pada September 2017, Williams ketika ini berasa dalam keadaan lebih baik untuk menguruskan tekanan perlawanan akhir.

Tambahnya: "Sepanjang tahun ini, saya cuba kekalkan kecergasan supaya saya boleh bermain dalam grand slam."

Sementara itu, Halep sedar bahawa dia tidak akan berdepan jalan mudah sambil mengiktiraf ancaman daripada bekas pemain nombor satu dunia itu.

Halep mara ke final selepas mengalahkan Elina Svitolina 6-1, 6-3.

"Ada banyak perkara yang mengagumkan tentangnya," kata Williams. "Anda tidak boleh meremehkannya, dia bagaikan stesen jana kuasa yang kecil."