Rafael Nadal menyatakan kesedihannya selepas disingkirkan Roger Federer dalam separuh akhir Grand Slam Terbuka Wimbledon sambil mengakui seterunya itu sememangnya berhak untuk menang.

Federer akan menghadapi Novak Djokovic dalam final ke-12 peribadinya di Kelab All England susulan kemenangan 7-6 (7-3), 1-6, 6-3, 6-4, awal pagi tadi.

Nadal menewaskan juara grand slam 20 kali itu dalam final epik di SW19 pada 2008, namun dia gagal mengulangi kejayaan 11 tahun lalu itu.

Pemain Sepanyol itu memburu kejuaraan ketiga di atas gelanggang berkenaan tetapi terpaksa akur dengan keunggulan lawannya dari Switzerland itu.

"Saya sedih kerana tewas. Ini merupakan satu lagi peluang buat saya," kata juara grand slam sebanyak 18 kali itu.

"Saya mencipta satu lagi peluang untuk mara ke satu lagi perlawanan akhir. Saya hanya perlu terima hakikat bahawa ini bukanlah hari saya. Saya telah mengharungi kempen yang hebat, jadi saya perlu mengambilnya secara positif."

Tambahnya: "Pada masa yang sama, saya turut berasa sedih kerana menyedari peluang tidak selamanya akan terhidang. Saya juga berpeluang tahun lalu dan sekali lagi saya gagal menghadirkan kemenangan.

"Ia satu perlawanan yang sukar, dia bermain lebih baik sedikit daripada saya.

"Saya fikir saya tidak beraksi seperti dalam pusingan sebelum ini manakala dia pula bermain dengan baik, jadi dia seharusnya layak."