Simona Halep mendedahkan bagaimana dia mengetepikan kekhuatirannya sebelum menghadapi Serena Williams dan mengalahkan juara grand slam 23 kali itu dalam final Terbuka Wimbledon, malam tadi.

Sebelum pertemuan di Gelanggang Tengah itu, Halep hanya menang sekali dalam 10 pertemuan dengan pemain Amerika Syarikat (AS) itu, iaitu dalam Kejohanan Finals WTA di Singapura lima tahun lalu, tetapi dia mempamerkan permainan bertenaga untuk mengungguli seterunya itu 6-2, 6-2 dalam tempoh kurang sejam pertarungan.

Untuk itu, Halep meraih gelaran sulungnya di Kelab Seluruh England manakala Williams meratapi kekalahan ketiga berturut-turut dalam perlawanan kejohanan utama.

Sementara itu, Halep yang menjulang kejuaraan grand slam keduanya selepas memenangi Terbuka Perancis pada 2018, tiga kali dikecewakan dalam final sebelum meraikan kemenangan di Roland Garros.

"Saya fikirkan tentang perlawanan tetapi saya sama sekali tidak memikirkan tentang siapa yang akan saya hadapi," kata Halep dalam sidang media.

"Saya pernah berasa sedikit gementar ketika menghadapi Serena, dia merupakan inspirasi dan menjadi contoh kepada semua orang.

"Hari ini, sebelum perlawanan, saya bertekad bahawa saya hanya akan memberi tumpuan kepada diri sendiri dalam perlawanan akhir kejohanan utama, bukannya dia. Itulah sebabnya saya mampu mempamerkan aksi terbaik, santai, selain positif dan yakin untuk menghadapinya.

"Pagi ini (semalam), saya sudah memikirkan bagaimana untuk menentangnya, saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk memberinya masalah dan tidak membenarkannya mengawal permainan.

"Apabila dia diberi ruang, dia akan bermain dengan luar biasa. Saya sudah banyak kali menentangnya, saya tahu bagaimana pukulannya, saya tahu apa yang tidak digemarinya.

"Saya akan turun bermain seperti di Singapura, saya mempunyai imej itu di dalam kepala, saya benar-benar percaya saya ada peluang untuk melakukan perkara yang sama. Saya tahu saya perlu mengekalkan penguasaan setiap bola kerana jika dia dibenarkan bangkit, permainannya akan menjadi sangat mantap.

"Bukan mudah untuk menghadapi final grand slam. Anda boleh berasa terancam dan terlalu gugup.

"Saya telah belajar bahawa ini adalah pertarungan seperti biasa, usah terlalu memikirkan soal trofi, hanya beraksi dan cuba berikan yang terbaik.

"Saya berpesan kepada diri sendiri bahawa setiap kali saya menjejaki perlawanan terakhir, saya akan melakukan tindakan yang sama, jadi hari ini saya melakukannya."