Novak Djokovic berpandangan aksi perlawanan akhir Grand Slam Terbuka Wimbledon ketika menentang Roger Federer tengah malam tadi merupakan perlawanan paling mencabar sepanjang kerjayanya sehingga menuntutnya mengerah segala kekuatan psikologi untuk memenangi aksi lima set yang mendebarkan itu.

Pemain nombor satu dunia itu menumpaskan lawannya itu 7-6 (7-5), 1-6, 7-6 (7-4), 4-6, 13-12 (7-3) selepas hampir lima jam beraksi di Gelanggang Tengah.

Djokovic berdepan mata akhir lawan ketika di kedudukan 8-7 dalam set terakhir sebelum merangkul gelaran grand slam ke-16nya dan kejuaraan kelima di Kelab Seluruh England itu.

"Ia mungkin perlawanan paling sukar untuk saya tangani," kata pemain Serbia itu.

"Saya pernah berdepan perlawanan yang menuntut ketahanan fizikal tertinggi ketika menentang Rafael Nadal dalam final Grand Slam Terbuka Australia 2012 yang berlangsung hampir enam jam. Tetapi secara mentalnya, ini tahap yang berbeza atas segala-galanya.

"Saya cuba memainkan pertarungan ini dalam fikiran terlebih dahulu sebelum saya turun ke gelanggang. (Kalau tidak) saya mungkin tidak dapat mengharungi senario seperti ini.

"Saya sering cuba untuk membayangkan diri saya sebagai pemenang, saya fikir saya ada kuasa untuk itu. Ia harus seiring dengan kemahuan kerana kekuatan tidak hanya datang daripada fizikal, malah membabitkan mental dan emosi anda. Bagi saya, ia satu pertempuran yang berterusan di dalam diri, lebih daripada apa yang berlaku di luar.

"Anda perlu sentiasa memberikan persembahan yang baik sepanjang lima jam jika anda mahu memenangi perlawanan seperti ini. Saya berasakan ia turut membabitkan aspek ketahanan, saya sentiasa mempercayai kemampuan diri sendiri.

"Anda harus terus mengingatkan diri sendiri bahawa ada sebab untuk anda berada di pentas final selain berasakan bahawa saya lebih baik daripada pemain yang lain.

"Semakin sukar situasi yang anda hadapi, anda perlu semakin kerap mengingatkan diri sendiri, lebih banyak anda perlu bercakap dengan diri sendiri. Itulah yang saya lakukan."

Kemenangan itu menyaksikan Djokovic menghampiri rekod gemilang 20 kejuaraan grand slam milik Federer, namun pemain berusia 32 tahun itu tidak menetapkan sasaran tertentu untuk mengatasinya.

"Sama ada saya mampu melakukannya atau tidak, saya tidak pasti," kata Djokovic. "Maksud saya, saya tidak melihat umur sebagai halangan. Saya benar-benar maksudkannya berhubung apa yang saya katakan di atas gelanggang: Roger merupakan sumber ilham saya di atas usahanya pada usianya.

"Segalanya bergantung kepada berapa lama lagi saya akan beraksi tetapi itu semua bukan hanya bergantung kepada saya sendiri.

"Ia juga bergantung kepada situasi dalam kehidupan. Saya bukan setakat seorang pemain tenis, saya seorang bapa dan suami. Anda perlu mengimbangi segala hal."