Roger Federer tidak khuatir dengan potensi Novak Djokovic mahupun Rafael Nadal untuk mengatasinya sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah tenis lelaki selepas kekalahan dalam Grand Slam Terbuka Wimbledon.

Pemain nombor satu dunia, Djokovic, memenangi pertarungan lima set itu selepas berentap hampir lima jam sebelum menang 7-6 (7-5), 1-6, 7-6 (7-4), 4-6, 13-12 (7-3) di Gelanggang Tengah, tengah malam tadi, untuk meraih mahkota kejuaraan Terbuka Wimbledon kelima, seterusnya gelaran grand slam ke-16 dalam kerjayanya.

Federer memiliki koleksi 20 kejuaraan utama, disusuli Nadal, 18.

Menjelang ulang tahun hari lahirnya yang ke-38 bulan depan, Federer diminta mengulas mengenai pencapaiannya yang boleh diatasi seterunya yang lebih muda, dan pemain Switzerland itu sebaliknya menegaskan ia bukanlah sesuatu yang menjadi dorongan buatnya untuk terus berjaya.

"Motivasi saya dicetuskan dari tempat yang berbeza," katanya kepada sidang media.

"Saya tidaklah terlalu mencuba untuk terus mendahului kemenangan dalam kejohanan utama kerana saya sendiri yang memecahkan rekod itu dan jika ada orang lain yang melakukannya, itu bagus buat mereka.

"Anda tidak boleh mengekalkan segala-galanya, saya tidak menjadi pemain tenis untuk perkara seperti itu.

"Ini adalah mengenai usaha untuk memenangi Wimbledon, cuba mengharungi kempen dengan baik di depan penonton yang hebat di Gelanggang Tengah ini ketika berdepan pemain seperti Novak dan sebagainya. Itulah yang saya cuba lakukan."

Kekalahan Federer -- pada penghujung set terakhir yang diheret ke 'tie break' ketika kedudukan 12-12 -- mengingatkannya mengenai pertemuannya dengan Nadal dalam edisi 2008 di Kelab Seluruh England berkenaan yang menyaksikan pemain Sepanyol itu mengungguli pertarungan lima set klasik.

"Ini mungkin sama dengan edisi 2008, saya menonton rakamannya dan fikir, 'baiklah, itu bukan aksi yang buruk selepas semua (usaha yang dicurahkan)," kata Federer.

"Buat masa ini, (kekalahan ini) menyakitkan dan sepatutnya begitu, sebagaimana apabila setiap kali saya tewas dalam Wimbledon.

"Saya fikir ia mengenai soal kekuatan minda. Minda saya sangat kuat kerana mampu melupakan kekecewaan ini memandangkan saya tidak mahu tertekan setelah mengharungi pertarungan yang hebat.

"Saya tidak terganggu dengan kekalahan ini, mungkin atas beberapa faktor seperti perlawanan tidak ditunda akibat hujan selain hari ini tidak gelap. Tetapi apa yang pasti, perlawanan epik ini sudah berakhir."

Menurutnya lagi: "Saya begitu hampir (dengan kejuaraan) dan terdapat banyak detik-detik menarik.

"Pastinya terdapat persamaan. Namun, ia akan menuntut anda untuk menggali lebih mendalam demi mengenal pastinya.

"Saya tewas dua kali, jadi itulah satu-satunya persamaan yang saya dapat lihat."